SUNGAI PETANI: Murtadha Dakwah Centre (Madad) membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk menceburi perniagaan jam dinding Islamik yang dilengkapi sistem azan untuk kegunaan masyarakat di kediaman masing-masing.
Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra berkata, kos tersebut merangkumi pembelian mesin dan peralatan, pembinaan bangunan kilang berasaskan kabin serta pembiayaan untuk kajian dan penyelidikan.
Katanya, sebanyak 1,000 unit jam tersebut kini telah sedia untuk dipasarkan pada bulan ini dengan sebahagiannya sudah ditempah pelanggan, sebelum 5,000 unit lagi dijangka dikeluarkan pada bulan hadapan.
“Bagi projek terbaru Madad ini, kita bersama dengan syarikat Promas Technology Sdn. Bhd. yang sudah lama terlibat dalam pembuatan jam dinding digital dilengkapi azan ini.
“Lebih penting, jam keluaran Madad bersama Promas ini mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi waktu solat yang bukan sekadar perhiasan di rumah tetapi bertepatan dengan keperluan pengguna,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohammad Yaakub berkata, terdapat sembilan rekaan ditawarkan kepada pembeli dengan empat daripadanya direka khas berlatar belakangkan Madad selain masjid-masjid di Mekah dan Madinah.
Katanya, objektif Madad terlibat dalam perniagaan tersebut adalah bagi menampung pembiayaan institusi itu yang sehingga kini tidak mengharapkan sumbangan orang ramai untuk beroperasi.
“Semua perniagaan disertai Madad adalah untuk menjana pendapatan, tetapi dalam bisnes jam ini kita berdepan cabaran bagaimana mahu memastikan orang beli jam ini tanpa sentimental agama.
“Kita kena perbetulkan mentaliti daripada orang membeli sebab kesian kepada memang orang beli kerana kualiti produk, kita tak mahu mereka beli sebab nak tolong Madad tapi nilai dan kualiti jam ini lebih utama,” katanya.
Sementara itu, ujar Mohammad Yaakub, Kompleks Madad yang menempatkan masjid dan fasiliti utama lain di Kampung Teluk, di sini kini sudah menjangkau tahap 60 peratus siap sejak ia dimulakan pada 2018.
“Sebenarnya perkembangan pembangunan di Kompleks Madad agak subjektif kerana kita sentiasa membawa masuk segmen-segmen baharu untuk keperluan masyrakat dan sebab itu angkanya mungkin sudah lama capai 60 peratus kemajuan sebab kita sentiasa tambah baik kawasan ini.
“Terkini kita dalam perancangan untuk membina hotel bagi menawarkan penginapan kepada jemaah dari jauh selain sedang mengembangkan projek Rumah Kahwin serta akan melancarkan Madad Edu Kids yang terbesar di utara tidak lama lagi,” katanya.
Tambahnya, Madad juga kini dalam proses membina sebuah stesen minyak berhampiran Kompleks Madad selain mula mengambil alih pengurusan sebuah chalet di Yan yang boleh menampung 200 pelanggan.-UTUSAN










