PASARAN trak pikap melihat peningkatan harga yang cukup mendadak dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini.
Jika dahulu, trak pikap varian mewah masih boleh dibeli di bawah paras RM120,000 dan varian pertengahan berada di bawah paras RM100,000, sekarang ia sudah mencecah paras hampir ke RM200,000 dan varian pertengahan lebih hampir kepada RM150,000.
Tanpa ada peningkatan cukai, kenaikan harga ini boleh dikatakan berpunca dari pihak pengeluar sendiri yang menyalahkan peningkatan kos pembuatan.
Bagi jenama dari Jepun, trak pikap paling mampu sekarang ditawarkan oleh Isuzu, lebih tepat lagi model DMax dengan enjin diesel 1.9 liter. Kadar harga yang kompetitif ini membuatkan ramai yang bertanya, adakah pikap diesel dengan enjin kecil itu adalah belian berbaloi?
Isuzu DMax dengan enjin 1.9L ini datang dalam beberapa varian, bermula dari versi 1.9L Low Ride 4X2 Manual yang berharga RM92,200 hingga ke Premium 1.9L 4X4 Auto pada harga RM137,650.
Antara kedua varian itu, ada lagi empat varian berbeza dengan enjin yang sama, menjadikan kesemuanya ada enam varian DMax 1.9L (termasuk varian transmisi manual dan automatik).
Apa yang diuji hari ini ialah model Premium kerana ia datang dengan ciri-ciri mewah yang sering ada pada varian-varian pertengahan dari jenama lain, cuma dengan kapasiti enjin yang kecil, menjadikan cukai jalan tahunan DMax ini hanya pada RM399.20.
Dari segi reka bentuk, DMax ini sudah mengalami sedikit perubahan kosmetik yang terdiri dari lampu (kini Bi-LED projektor), gril dan bamper hadapan baharu serta hud enjin dan lampu belakang serta pintu kargo berlainan.
DMax nampak lebih garang, walaupun perubahan itu sebenarnya tidak begitu ketara melainkan kita letakkan varian sebelum ini disebelahnya.
Ruang kabin menerima tempat duduk dan trim panel pintu dengan corak baharu, paparan meter berwarna tujuh inci e-Lumax yang lebih cantik (hanya untuk varian Premium) serta skrin sesentuh utama bersaiz sembilan inci dengan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto nirwayar.
Tempat duduk pemandu dikawal secara elektrik, pengecas nirwayar untuk telefon juga tersedia dan kawalan pendingin hawa dua zon. Bagi peminat audio, sistem surround dengan lapan pembesar suara kekal ada, lengkap dengan dua laluan bunyi audio di siling.
Enjin kekal sama – RZ4E-TC dengan kapasiti 1,898cc VGS Turbo Diesel Intercooler DOHC 16 injap yang menghasilkan 150PS dan 350Nm serta transmisi enam kelajuan automatik beserta fungsi Sequential Shift.
Tempat duduk belakang masih boleh dilipat ke bawah dan ke atas, mewujudkan ruangan kargo tambahan jika diperlukan.
Sistem keselamatan ADAS yang ada terbatas kepada Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert.
Dari segi keselesaan dan kadar bunyi, Isuzu nampaknya memberikan sedikit penambah-baikan kerana ia terasa lebih senyap dari varian sebelum ini. Pemanduan juga lebih selesa, tetapi masih di belakang Ford Ranger atau Nissan Navara dan Mitsubishi Triton terkini.
Ruangan kabin nyata rasa lebih lapang dari Hilux dan tempat barang juga lebih banyak dari trak pikap Toyota itu.
Penulis memandu sejauh hampir 2,000 kilometer (km) dengan DMax ini dan cukup faham fungsi yang menjadi objektif utama DMax varian ini.
Sebagai trak kerja, ia hampir sempurna. Tenaga enjin memadai untuk kerja-kerja yang tidak membabitkan kargo yang terlalu berat dan pemanduan santai di lebuhraya.
Ciri-ciri keselesaan tetap lebih tinggi dari varian di bawahnya, menjamin kesejahteraan penumpang untuk perjalanan jauh.
Penggunaan bahan api dari tangki sebesar 76 liter itu lebih dari membanggakan antara 6.7 ke 7.0L untuk setiap 100 km atau 20 sen untuk setiap kilometer (pada harga diesel B10 RM2.95 seliter).
Ia adalah satu angka yang membanggakan, terutama jika diambil kira ia menggunakan transmisi automatik.
Sistem pacuan empat roda masih tradisional, suis pulas untuk mod 2H, 4H dan 4L dan kini lengkap dengan Diff-Lock belakang sebagai standard. Fungsi Rough Terrain Mode mengubah algorithm enjin dan brek ABS untuk memudahkan pemanduan di kawasan off-road serta kebolehan meredah air sedalam 800 milimeter (mm) juga membantu.
Kos penyelenggaraan pula adalah antara RM350 sehingga ke RM1,400, bergantung kepada komponen yang perlu diganti. Waranti pula ialah 150,000 km atau lima tahun dan dari kajian, DMax mampu mengekalkan antara 60 ke 70 peratus harganya selepas lima tahun.
Benar, ia bukan trak pikap yang berkuasa di atas jalan raya kerana fokus DMax yang ini bukan kepada prestasi tetapi penjimatan bahan api.
Bukankah itu yang lebih penting bila kita mahukan sebuah trak pikap untuk kegunaan pekerjaan kita?
Pengalaman pemilikan yang baik juga menyebabkan kenapa DMax masih lagi relevan kepada ramai dan kenapa ramai yang masih setia dengannya.
Dengan harganya yang paling berhemat berbanding dengan pesaingnya, DMax 1.9L Premium merupakan satu belian dari akal dan bukannya dari hati.
Cuma jika perasaan masih terasa sangsi, mungkin kemasan kabin dan reka bentuk luaran yang lebih modern dan agresif itu boleh digunakan sebagai pelembut jiwa.
Spesifikasi
Isuzu DMax Premium 1.9L 4X4 Auto
Enjin: RZ4E-TC 1,898cc 4-silinder VGS Turbo Diesel 16V DOHC
Kuasa maksimum: 150PS @ 3,600 rpm
Daya kilas maksimum: 350 Nm @ 1,800 – 2,600 rpm
Transmisi: 6-kelajuan automatik dengan Sequential Shift
Alatan keselamatan: 6 beg udara SRS, ABS, EBD, BA, ESC, TCS, HSA, HDC, BOS. BSM, RCTA dll
Harga: RM137,649.20 atas jalan tanpa insurans (Semenanjung)–UTUSAN










