PETALING JAYA: Worldwide Stainless Sdn. Bhd. memuktamadkan pengambilalihan Bahru Stainless Sdn. Bhd. bernilai AS$95 juta (RM423 juta), membuka lembaran baharu yang strategik bagi industri keluli tahan karat Malaysia.
Pengambilalihan ini bukan hanya menandakan pemulihan semula sepenuhnya operasinya, malah mencerminkan visi jangka panjang Worldwide Stainless memulihkan Bahru Stainless Sdn. Bhd. sebagai pengeluar tunggal keluli tahan karat canai sejuk di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Stainless, Danny Tan berkata, ini bukan sekadar penyambungan operasi, tetapi langkah transformasi untuk memacu semula potensi Bahru Stainless melalui pelan hala tuju baharu yang lebih strategik.
“Kami telah membuat keputusan berani untuk merasionalisasi proses pengeluaran dan membina asas kukuh bagi pertumbuhan jangka panjang.
“Dengan mengadaptasi inovasi terkini serta melabur dalam peningkatan kemahiran tenaga kerja, kami berhasrat untuk mengembalikan Bahru Stainless sebagai peneraju utama dalam industri keluli tahan karat di peringkat global,” katanya dalam kenyataan.
Danny berkata, Worldwide Stainless menyusun semula operasi di Bahru Stainless, selaras dengan visi syarikat ke arah mencapai kecekapan tinggi dan kelestarian jangka panjang.
Menurutnya, melalui pendekatan strategik ini, syarikat berusaha memperkukuh produktiviti, memenuhi piawaian global yang ketat dan mewujudkan asas kukuh untuk pertumbuhan yang mampan.
“Transformasi proses pengeluaran ini bukan sekadar pembaharuan kosmetik, tetapi mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi dan kecekapan jangka panjang.
“Pendekatan ini akan mengoptimumkan produktiviti, memperkukuh kedudukan Bahru Stainless di persada global dan memenuhi permintaan industri yang kian berkembang.
“Ini adalah langkah awal ke arah masa depan yang lebih kukuh dan lestari bagi Bahru Stainless di bawah kepimpinan yang dinamik,” ujarnya.
Tambahnya, satu daripada pencapaian utama daripada pengambilalihan ini adalah kejayaan Worldwide Stainless memulihkan 90 peratus tenaga kerja Bahru Stainless yang sebelum ini terjejas.
Jelasnya, sebahagian besar pekerja ini kini kembali ke jawatan asal mereka, membawa bersama pengalaman industri bertahun-tahun yang menjadi aset penting kepada kejayaan fasiliti terbabit.-UTUSAN










