KUALA LUMPUR: Ryverra Chocolate and Confectionies Sdn. Bhd. (Ryverra), satu daripada jenama coklat tempatan, terus memantapkan langkahnya di pasaran halal sejak memperoleh sijil halal pada 2011 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Pengurus Ryverra Chocolate Story, Mohd. Hanafiah Mohd. Yunos berkata, keputusan untuk mendapatkan pensijilan halal bukan hanya untuk memenuhi keperluan pasaran masyarakat beragama Islam tetapi juga sebagai jaminan kualiti.
“Kami ingin memastikan pengguna tidak meragui produk kami, terutama disebabkan oleh coklat sering mengundang salah faham mengandungi bahan yang tidak halal.
“Oleh itu, kami menggunakan bahan asas yang mematuhi standard halal sepenuhnya, seiring dengan prosedur yang telah ditetapkan oleh Jakim bagi memastikan bahan dan tempat pemprosesan bersih dan suci.
“Sijil halal bukan sahaja membantu kami dari segi pemasaran, tetapi juga dalam pengurusan bahan mentah yang telus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, Ryverra juga turut serta dalam acara-acara besar seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan pameran antarabangsa di Paris untuk meningkatkan pengiktirafan jenama di pasaran tempatan, mahupun antarabangsa.
“Keseluruhan produk Ryverra kini telah berstatus halal demi memastikan kualiti dan kredibiliti, sekali gus membolehkan kami memasuki pasaran tempatan dan juga antarabangsa.
“Kini, produk kami telah memasuki beberapa stesen minyak dan pasar raya tempatan seperti Kedai Mesra Petronas, MYDIN, AEON, Aeon Big, Segi Fresh Market, Kedai Select Shell, Lulu Hypermarket dan banyak lagi,” katanya.
Hanafiah berkata, perniagaan coklat itu bermula sebagai usaha kecil pada 2009 dan kini dikenali sebagai jenama yang memberikan pengalaman unik kepada pelanggan melalui pusat lawatannya di Lot 1, MARA Halal Industrial Park (MHIP).
“Ryverra kini juga mempunyai Ryverra Chocolate Story (RCS), pusat pengalaman yang menggabungkan pameran, demonstrasi pembuatan coklat, serta aktiviti Chocolate DIY untuk mendekatkan jenama dengan pengguna,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, beliau berkata, Ryverra merancang untuk memperluas pengalaman pelanggan dengan membuka pusat lawatan tambahan di kawasan-kawasan pelancongan di seluruh negara.
“Kami juga ingin membangunkan konsep grab-and-go, khusus coklat,” katanya.-UTUSAN










