PTP tingkat kapasiti dengan kren dermaga baharu

PTP tingkat kapasiti dengan kren dermaga baharu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usahama antara Kumpulan MMC dan APM Terminals menaik taraf sistem operasi terminal kontena Navis N4 4.0 terbaharu daripada Kaleris, menandakan satu langkah ke hadapan yang ketara dalam meningkatkan prestasi dan kecekapan di terminalnya.

PTP telah bekerjasama dengan Kaleris dalam menggunakan sistem Navis N4 sejak 2019 dan peralihan daripada sistem terdahulu kepada sistem generasi keempat ini berupaya untuk mengukuhkan lagi kesediaan terminal pelabuhan PTP dalam mengendalikan pertumbuhan jumlah kendalian kontena masa hadapan.

Proses naik taraf sistem ini juga merupakan peralihan sistem operasi terminal berskala besar bagi sistem N4 4.0 dan yang paling besar di dunia sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, naik taraf sistem operasi terminal dengan saiz dan skala sebegini adalah satu pencapaian yang luar biasa. 

Katanya, peralihan sistem dalam masa dua setengah jam sahaja, dengan membolehkan penggunaan sehingga 38 kren dermaga dalam masa lima jam dan mencapai sifar gangguan kritikal mencerminkan pengurusan perubahan yang luar biasa, keboleh adaptasi proses baharu dan integrasi teknologi barisan hadapan yang efisyen. 

“Kejayaan ini adalah bukti kerja keras, dedikasi dan usaha kolaboratif pasukan dan rakan kongsi kami. PTP sentiasa mengutamakan agenda pembangunan dan pemerkasaan sumber manusia, teknologi dan proses, dengan keselamatan dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan sebagai nilai teras perniagaan kami. 

“Tumpuan strategik kami terhadap daya inovasi, transformasi digital dan pertumbuhan mampan memastikan kami mampu mewujudkan persekitaran optimum untuk keselamatan dan kepuasan pelanggan yang lebih tinggi.

“Ini dengan menyampaikan perkhidmatan yang boleh dipercayai, tepat pada masanya melalui kecekapan terminal yang dipertingkatkan dan kapasiti yang diperluaskan,” katanya dalam kenyataan.

PTP berkata, peralihan sistem berjaya dicapai dengan lancar, tanpa sebarang gangguan terhadap operasi pelanggan serta berjaya menepati sasaran peningkatan produktiviti terminal.

Tambahnya, PTP turut berjaya melakar satu lagi kejayaan operasi apabila proses tersebut juga berjaya mengupayakan sehingga 48 kren dermaga bagi satu syif kerja 12 jam sepanjang berlakunya peralihan sistem tersebut. 

“Penggunaan keseluruhan jentera ini menandakan yang tertinggi dalam sejarah PTP,” ujarnya.

Jelasnya, sistem operasi terminal terbaharu ini mampu menyokong infrastruktur terminal PTP yang luas, yang terdiri daripada sejumlah 58 kren dermaga, 199 kren Rubber Tyred Gantry (RTG), 572 lori terminal pelabuhan dan 743 treler. 

Terminal PTP pula merangkumi dermaga sepanjang 5.1 kilometer yang mampu mengoperasikan kapasiti sehingga lebih sejuta TEU (unit bersamaan 20 kaki) sebulan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN