PETALING JAYA: Proton mencatatkan jualan sebanyak 12,194 unit (domestik dan eksport) pada November, penurunan sebanyak 4.7 peratus berbanding Oktober selaras dengan pengurangan dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 4.1 peratus untuk jualan automotif Malaysia.
Pengeluar kereta nasional dalam kenyataan berkata, ini membawa jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) kepada 137,751 unit dengan Proton kekal di tempat kedudukan kedua paling popular dalam kedudukan jualan nasional.
Katanya, bahagian pasaran untuk bulan ini adalah 18.2 peratus yang membawa kepada angka YTD sebanyak 18.8 peratus untuk keseluruhan tahun 2024.
“Walaupun volum jualan sektor automotif Malaysia mengalami pengurangan pada November, TIV YTD masih hampir 10,000 unit lebih berbanding dengan masa yang sama pada 2023.
“Dengan anggaran 731,026 unit terjual setakat ini, pasaran dijangka mencatatkan tahap rekod baharu untuk tahun kedua berturut-turut apabila melangkaui paras 800,000 unit. Ini menjadikan Malaysia sebagai pasaran kenderaan penumpang dengan volum kedua tertinggi di ASEAN tahun ini,” katanya.
Proton berkata, jualan model terbaharunya, X70 2025, meningkat 7.7 peratus bulan ke bulan pada November kepada 1,065 unit, menjadikan jumlah jualan YTD sebanyak 7,536 unit.
Menurutnya, ini sekali gus menjadikan model ini kembali meraih kedudukan teratas dalam jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C yang berharga dibawah RM130,000.
“SUV Proton yang paling popular, X50 terus mendahului jualan SUV segmen B dengan 1,911 unit terjual, menjadikan jumlah jualan YTD sebanyak 21,033 unit, manakala X90 kekal sebagai peneraju pasaran SUV segmen D dengan pertumbuhan 13.1 piratus bulan ke bulan kepada 277 unit.
“Sedan segmen C, S70 kembali memimpin carta jualan segmen dengan 1,312 unit terjual, membawa jumlah jualan YTD kepada 17,512 unit, jumlah yang terbaik dalam kelasnya setakat ini.
“Sementara itu, Saga telah merekodkan 5,916 unit jualan, menjadikan jumlah YTD sebanyak 66,094 unit. Kini, model ini berada pada landasan untuk melepasi paras 70,000 unit jualan untuk tahun kedua berturut-turut,” ujarnya.
Dalam pada itu, sedan segmen B, Persona mencatatkan 1,394 unit pada November dengan jumlah YTD sebanyak 17,325 unit, manakala hatchback segmen B Proton, Iriz menjual 319 unit, menjadikan jumlah jualan setakat ini kepada 4,762 unit.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, menjelang bulan terakhir 2024, semua rakan sekerja di Proton sedang bersiap sedia untuk mendorong angka jualan menjelang penghujung tahun.
“Komitmen kami dalam menghasilkan kenderaan berkualiti terbukti melalui kejayaan berterusan model-model seperti X70, X90, dan Saga yang kesemuanya telah mencapai kejayaan penting tahun ini.
“Dengan pelancaran Proton e.MAS 7 yang dinantikan pada 16 Disember, disertai dengan pertumbuhan eksport yang menggalakkan dan tumpuan kepada inovasi, kami yakin Proton akan terus menjadi peneraju dalam industri automotif, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya.-UTUSAN










