INDEKS penawaran sewa hartanah pada suku pertama 2024 menyaksikan aliran peningkatan di luar jangka sebanyak 31.3 peratus bagi tahun ke tahun, didorong oleh pelbagai faktor seperti keadaan hartanah lebih baik, pertambahan permintaan di kawasan tertentu atau perubahan pasaran hartanah tempatan.
Dalam Laporan Pasaran Hartanah bagi suku pertama 2024, PropertyGuru berkata aliran itu memaparkan kerumitan dinamik pasaran yang aliran itu memaparkan kerumitan dinamik pasaran yang menyaksikan trend sebaliknya boleh berlaku walaupun di tengah-tengah penyusutan permintaan.
Laporan itu juga menunjukkan indeks permintaan sewa hartanah kediaman mencatat penurunan sebanyak ll peratus bagi suku ke suku berikutan faktor perayaan bermusim yang biasanya menjejaskan aktiviti sewa pada awal tahun.
Namun, sejauh manakah keadaan pasaran sewa hartanah pada tahun hadapan?
Bagi Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, cabaran terbesar pasaran sewa hartanah ialah situasi ekonomi dunia yang tidak menentu.
“Seperti yang kita maklum, pembiayaan hartanah melibatkan satu tempoh masa yang lama iaitu di antara 20 hingga 35 tahun. Sepanjang tempoh ini pemilik hartanah akan mengalami beberapa kitaran ekonomi menaik dan menurun, inflasi yang saban tahun meningkatkan kos sara hidup.
“Jika dilihat pulangan sewa hartanah sekarang ini, rata-rata tuan rumah mengalami kekurangan hasil sewa berbanding ansuran bulanan yang dibayar oleh mereka. Ini berpunca daripada kos hartanah yang semakin meningkat di samping kuasa beli penyewa yang semakin menurun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelasnya, pasaran sewa tersebut bagaimanapun tidak terkesan secara signifikan terutamanya di lokasi-lokasi strategik seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
“Ia juga merupakan satu keperluan asas di mana meskipun harga sewa meningkat ia tetap menjadi permintaan khususnya pasangan yang baru berkahwin.
“Saya menjangkakan pasaran sewa tidak terkesan di lokasi terbabit kerana keperluan sektor perindustrian di luar bandar tidak berkembang pesat seperti di bandar. Tambahan pula, ramai anak-anak kampung mula berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan.
“Pastinya ada sedikit ‘gangguan’ kepada pasaran sewa hartanah jika kerajaan melakukan sebarang perubahan polisi. Contohnya semasa cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan dahulu, kos membina rumah semakin meningkat dan ia pastinya meningkat harga sewa hartanah pada masa itu,” katanya.
Selain itu, jelas Mohd. Rizal, terdapat beberapa faktor utama yang mempengaruhi harga sewa iaitu jenis rumah, lokasi berhampiran sekolah, berhampiran kemudahan asas seperti kedai makan dan perkhidmatan lain.
“Ciri-ciri keselamatan juga memainkan peranan penting. Komposisi kaum yang tinggal di sekitar rumah juga mempengaruhi harga sewa.
“Malah, lebihan penawaran khususnya rumah kediaman apartment dan kondominium di bandar-bandar utama,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar sektor hartanah tidak dijadikan satu lagi ‘implicit capital market’ (pasaran modal tersembunyi) secara senyap oleh pemaju dan pemain hartanah di luar sana.
“Hartanah khususnya kediaman adalah satu keperluan asas yang mana semua rakyat perlu memiliki rumah yang selesa dengan harga yang rendah. Tindakan majlis perbandaran (pihak berkuasa tempatan) meluluskan harga hartanah juga perlu dilihat secara teliti agar keseimbangan boleh dihasilkan antara keuntungan pemaju dan harga yang harus dibayar oleh rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, permintaan rumah sewa bergantung pelbagai faktor termasuk ada peluang pekerjaan, gaya hidup yang lebih baik dan kemudahan dalam persekitaran.
“Bagaimanapun, kita melihat kawasan luar bandar akan meningkat disebabkan kos sara hidup luar bandar lebih rendah.
“Jika diikutkan perubahan ekonomi misalnya melibatkan inflasi dan kadar faedah memang ada kesan signifikan contohnya inflasi akan sebabkan harga sewa naik disebabkan kos penambahbaikan dan penyelenggaraan hartanah, kadar faedah akan mempengaruhi kos pinjaman.
“Oleh itu, sekiranya faedah tinggi boleh mengurangkan pelaburan untuk hartanah baharu, ini akan menyebabkan penawaran hartanah akan berkurang dan harga sewa akan tinggi,” katanya.-UTUSAN










