ALOR SETAR: Sulb, sebuah restoran piza dengan cita rasa tempatan terkemuka di Kedah meraih kepercayaan daripada jenama susu berasaskan oat, Oatside untuk berkolaborasi dalam satu festival makanan di sini baru-baru ini.
Menurut pemilik Sulb, Fatin Hani Zaharulail, 30, pihaknya teruja dengan kerjasama jenama susu oat dari Singapura itu yang sedikit sebanyak meraih perhatian penggemar piza serta pengunjung festival itu.
“Ia satu kolaborasi yang unik, Sulb x Oatside kerana saya percaya ini adalah kali pertama sebuah restoran dapat bekerjasama dengan syarikat pengeluar susu oat dari luar negara. Untuk acara tersebut Oatside membekalkan sebanyak 2,000 kotak susu oatnya iaitu Oatmilk yang popular.
“Pelanggan melahirkan keterujaan sepanjang acara tersebut. Saya berharap kolaborasi ini memberi impak dan akan berlangsungan pada masa hadapan juga,” katanya ketika ditemui di restoran Sulb dekat sini baru-baru ini.
Menurut usahawan muda ini, selaku vendor dalam festival tersebut Sulb mampu menjual sehingga 2,000 kotak piza.
“Ini adalah kali kedua Sulb menyertai festival di Alor Setar dan kali pertama di Sungai Petani. Nyata sambutan agak menggalakkan kerana piza kami semakin dikenali dan digemari ramai.
“Mungkin kerana piza yang dihasilkan mempunyai citarasa tempatan iaitu Itali dan Melayu yang suka sedikit pedas. Ini berbeza daripada piza lain. Paling menarik kami turut menawarkan piza wagyu yang juga menjadi signature menu di Sulb,” katanya.
Trend piza di negara ini mengalami pertumbuhan yang pesat terutama selepas pandemik Covid-19 sekaligus membantu perniagaan ini tumbuh seperti cendawan pada musim hujan.
Namun Sulb memiliki keistimewaan tersendiri apabila menampilkan variasi piza dengan aduan sendiri termasuk doh dan sosnya. Terdapat lebih 17 menu di Sulb dengan citarasa tempatan. Sementara Oatside pula yang dilancarkan tiga tahun lepas semakin meraih perhatian dalam kalangan penggemar susu oat.
Fatin Hani berkata, perniagaanya itu walaupun baru berusia setahun jagung namun semakin meraih perhatian dalam kalangan penggemar piza di negeri ini lantaran resipinya yang diolah mengikut citarasa tempatan.
“Setiap piza di sini dijual pada harga bermula RM17 hingga RM79 sebiji mengikut menu.
Dari segi topping hingga ke doh semua buatan sendiri. Bahan yang digunakan juga segar bukan sejuk beku termasuk daging kambing atau wagyu itu,” katanya.
Menurut beliau, melihat kepada prospek perniagaan itu yang semakin berkembang Sulb berharap dapat membuka cawangannya di ibu kota dalam masa terdekat.-UTUSAN










