Kadar pengangguran kekal pada 3.2% pada Oktober

Kadar pengangguran kekal pada 3.2% pada Oktober

SEKTOR pembuatan antara yang mencatatkan pertumbuhan guna tenaga yang positif pada Oktober 2024.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran pada Oktober 2024 kekal pada 3.2 peratus, merekodkan penurunan dalam bilangan penganggur kepada 551,400 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan pasaran buruh negara pada Oktober kekal optimis berikutan perkembangan positif ekonomi Malaysia, berdasarkan peningkatan yang stabil dalam guna tenaga, manakala bilangan penganggur terus menurun. 

Katanya, bilangan tenaga buruh berada dalam trend peningkatan pada bulan Oktober 2024, naik sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan mencatatkan 17.27 juta orang (September 2024: 17.24 juta orang). 

“Kadar penyertaan tenaga buruh pada Oktober 2024 kekal pada 70.5 peratus seperti yang direkodkan pada bulan lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.72 juta orang pada Oktober 2024 (September 2024: 16.69 juta orang). 

Pada masa yang sama, katanya, bilangan penganggur terus berkurang kepada 551,400 orang berbanding 555,300 orang pada bulan sebelumnya, merekodkan penurunan sebanyak 0.7 peratus. 

Mengulas lanjut mengenai situasi guna tenaga, beliau berkata, kategori pekerja merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja. 

“Kumpulan ini mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus, mencecah kepada 12.53 juta orang, berbanding 12.51 juta orang pada bulan sebelumnya. 

“Begitu juga, penduduk bekerja sendiri berada pada trend menaik, meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 3.10 juta orang (September 2024: 3.09 juta orang),” ujarnya.

Dari segi sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan semakin meningkat, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan. 

“Pada masa yang sama, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian turut mencatatkan pertumbuhan guna tenaga yang positif pada bulan tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai pengangguran, beliau berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan meliputi 79.8 peratus daripada jumlah penganggur. 

“Kategori ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.8 peratus kepada 440,000 orang (September 2024: 443,500 orang). 

“Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 62.2 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 6.4 peratus,” katanya.

Sementara, beliau memberitahu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun tidak berubah iaitu pada 6.3 peratus, dengan 420,200 penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (September 2024: 6.3 peratus; 420,100 orang). 

“Bagi kumpulan tidak aktif, penduduk di luar tenaga buruh pada Oktober menunjukkan penurunan kecil iaitu sebanyak 0.02 peratus kepada 7.23 juta orang (September 2024: 7.23 juta orang). 

“Sebab utama berada di luar tenaga buruh adalah berikutan kerja rumah/ tanggungjawab keluarga (43.0 peratus), diikuti oleh kategori bersekolah/ latihan (41.9 peratus),” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN