Jualan kek bento ala Korea meningkat 20 peratus

Jualan kek bento ala Korea meningkat 20 peratus selepas peroleh sijil halal

NOR Hasheera Hanafi belajar membuat kek daripada ibu mertuanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengusaha bakeri, Rumah Ajaib Legacy menerima peningkatan sehingga 20 peratus iaitu RM10,000 hingga mencecah RM12,000 sebulan selepas menerima pengiktirafan pensijilan halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains). 

Pengusaha produk Pretty Sugar, Nor Hasheera Hanafi, 31 berkata, sejak memperoleh halal, pelanggannya tidak ragu-ragu membeli kek bento ala korea yang dihiasi pelbagai pewarna.

“Saya melihat pelanggan lebih yakin membeli kek bento ini kerana kami menggunakan bahan yang disahkan halal serta tidak diragui,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Nor Hasheera menjalankan perniagaan menjual kek reka bentuk khas seperti kek bento, brownies dan kek batik bermula dengan harga RM28 hingga RM200 mengikut saiz di Taman Nyior, Ampangan, Negeri Sembilan. 

“Kek bento ini kebanyakan ditempah pelanggan bagi pelbagai jenis sambutan hari jadi, ulang tahun, konvokesyen dan pelbagai majlis keraian.

“Setiap bulan jualan mencapai sehingga 100 biji kek bento pelbagai reka bentuk,” katanya. 

Nor Hasheera yang mempelajari cara pembuatan asas membuat kek daripada ibu mertuanya itu memberitahu, dia juga ingin meningkatkan ilmu pengetahuan cara mendekorasi kek yang semakin menerima permintaan ramai.

“Ketika ini saya menjalankan perniagaan di rumah dengan seorang kakitangan dan mempunyai ejen seluruh Negeri Sembilan iaitu di Port Dickson, Sendayan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau.

“Malah, kini, saya ada menjalankan kelas dekorasi kek untuk orang awam yang berminat,” katanya.

Sebagai usahawan, dia menasihatkan setiap peniaga agar sebagai bertanggungjawab untuk menyediakan makanan yang halal untuk pembeli.

“Jika boleh usahawan berusaha untuk mendapatkan sijil halal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN