PETALING JAYA: Pensijilan halal menjadi tunjang kepada kejayaan perniagaan AW Manufacturing Sdn Bhd., pengeluar jenama minuman terkenal, Ayaq World untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju halal niaga.
Pengarah Urusannya, Siti Aisyah Kamaruddin berkata, pengukuhan itu melalui perancangan strategik untuk memperluaskan pemasaran ke stesen minyak, pasar raya besar, dan bahkan ke pasaran global.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa pematuhan kepada nilai-nilai halal mampu membawa perniagaan ke tahap lebih tinggi.
“Meskipun cabaran lokasi perniagaan dan modal pernah membatasi langkah awalnya, kami berjaya bangkit dengan strategi pemasaran kreatif seperti penjualan jus botol melalui platform digital.
“Kini, Ayaq World telah menempatkan produk di rangkaian seperti Mynews dan CuMart serta kedai runcit di seluruh Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, semua produk syarikat telah menerima pengiktirafan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2021, selain pensijilan MeSTI dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kami berhasrat untuk mendapatkan pensijilan halal atas dasar tanggungjawab sebagai Muslim untuk menyediakan pilihan minuman yang halal dan berkualiti.
“Ini sekali gus ingin memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa produk Ayaq World dihasilkan dalam persekitaran dan pengendalian yang bersih dan selamat.
“Pensijilan halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, tetapi juga menjadi pasport penting untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Sijil ini diakui juga turut memberi jaminan kepada pengguna Muslim bahawa produk kami bersih, selamat, suci dan menepati syariat Islam,” katanya.
Siti Aisyah berkata, proses permohonan sijil halal lancar kerana dari awal syarikat telah membangunkan Halal Assurance System (HAS) serta penerapan aktiviti halal kepada semua pekerja. Pihak Jakim juga memainkan peranan terbaik dalam proses ini.
“Proses pengauditan juga berjalan dengan lancar berikutan kami telah berjaya menepati kesemua keperluan dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Jakim.
“Sebagai usahawan beragama Islam, saya sangat menekankan kepentingan kepada semua usahawan diluar sana untuk mendapatkan sijil halal, terutama untuk produk makanan dan minuman. Pastikan produk halalan toyibba ini menjadi tunjang utama semua produk yang dihasilkan.
“Ini bukan sahaja mematuhi tanggungjawab agama tetapi juga meningkatkan keyakinan pengguna, sekali gus memperluaskan peluang perniagaan,” katanya.-UTUSAN










