PLC tunjuk kemajuan dalam tadbir urus korporat

PLC tunjuk kemajuan dalam tadbir urus korporat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat awam tersenarai (PLC) Malaysia menunjukkan kemajuan dalam penggunaan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), menurut laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) 2024.

Laporan CG Monitor itu menilai penggunaan amalan terbaik MCCG, berdasarkan laporan Tadbir Urus Korporat yang dikeluarkan oleh PLC untuk tahun kewangan berakhir 2022 dan 2023.

Sebanyak 30 daripada 48 amalan terbaik merekodkan tahap penggunaan melebihi 90 peratus, menonjolkan komitmen sebilangan besar PLC terhadap tadbir urus korporat yang mantap.

Bagaimanapun, laporan 2024 itu menggariskan tiga bidang kritikal yang memerlukan penambahbaikan selanjutnya iaitu pembaharuan komposisi lembaga pengarah, meningkatkan penyertaan pemegang saham melalui AGM secara fizikal atau hibrid dan penyepaduan yang lebih mendalam bagi amalan tadbir urus kemampanan.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi menekankan kepentingan tadbir urus korporat dalam memacu pasaran yang berdaya tahan.

“Tadbir urus korporat mesti berkembang untuk menghadapi cabaran baharu dan memacu daya tahan untuk jangka masa panjang. Syarikat harus menyelaraskan tadbir urus mereka dengan keutamaan strategik dengan menyepadukan kemampanan, meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan, dan memperbaharui kepimpinan untuk kekal tangkas.

“Dalam usaha Malaysia ke arah ekonomi yang lebih inklusif dan mampan, SC akan terus menyokong syarikat dalam menerima pakai amalan yang memberikan nilai jangka panjang untuk pihak perniagaan dan komuniti yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan.
Laporan itu menunjukkan bahawa hanya 18 peratus daripada PLC telah menerima pakai had tempoh sembilan tahun untuk Pengarah Bebas Bukan Eksekutif. 

Ini menekankan keperluan untuk PLC mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menyegarkan komposisi lembaga. 

Pengekalan pengarah yang telah lama berkhidmat iaitu sehingga 12 tahun melalui proses pengundian dua peringkat kekal berleluasa. 

Sementara itu, jelasnya, PLC digalakkan untuk memanfaatkan Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), yang mana Pejabat Pendaftaran Pengarahnya kini menyenaraikan 1,007 individu yang bersedia untuk berkhidmat dalam lembaga. 

“Ini menawarkan PLC sekumpulan calon yang layak dan mempunyai perspektif baharu, memastikan lembaga pengarah kekal dinamik dan mampu menangani cabaran tadbir urus yang berkembang,” katanya. 

Jelas Mohammad Faiz, CG Monitor 2024 juga mendapati bahawa lebih 50 peratus daripada PLC terus mengadakan AGM secara maya atau hibrid pada tahun ini. 

“Bagaimanapun, seperti yang diumumkan oleh SC pada bulan Ogos, semua PLC mesti mengadakan mesyuarat agung secara fizikal atau hibrid mulai 1 Mac 2025. Peralihan ini dijangka meningkatkan penglibatan pemegang saham, membolehkan penyertaan dan interaksi yang lebih bermakna di AGM. 

“Yang boleh ditekankan, tadbir urus kemampanan telah menyaksikan peningkatan yang ketara, dengan lebih daripada 96 peratus daripada PLC kini menerima pakai amalan yang menumpukan pada pengawasan lembaga dan pengurusan terhadap isu kemampanan.

“Ini termasuk komunikasi yang lebih jelas mengenai strategi dan sasaran kemampanan dan memastikan lembaga pengarah kekal dimaklumkan tentang perkembangan kemampanan yang berkaitan. 

“Masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, seperti memasukkan kemampanan ke dalam penilaian prestasi lembaga pengarah dan pengurusan kanan serta melantik individu berdedikasi untuk mengurus usaha kemampanan secara strategik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×