KULAI: BMW Group Malaysia mengembangkan Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau (PDC) menerusi perluasan mega di Zon Perindustrian Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, sekali gus mengukuhkan status Malaysia sebagai hab logistik strategik di rantau Asia Pasifik.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, sebagai satu daripada fasiliti BMW terbesar seumpamanya di rantau Asia Pasifik, PDC pada asalnya merupakan gudang berkeluasan 45,000 meter persegi.
“Dengan siapnya perluasan fasiliti terbaharu meliputi 65,000 meter persegi yang mengagumkan itu, sekali gus memperkukuhkan komitmen BMW Group terhadap kecemerlangan operasi di rantau dan pelaburan negara ini.
“Kami mengimbas kembali akan kepentingan fasiliti ini bukan sahaja daripada segi kejayaan BMW Group sebagai pengeluar automotif premium terkemuka di Malaysia.
“Fasiliti ini dan kemampuan PDC merupakan simbol kecemerlangan operasi dan telah berkembang menjadi fasiliti canggih yang diiktiraf di peringkat serantau serta global,” katanya sempena ulang tahun ke-20 dan pelancaran Fasa 2 Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau di Senai, Johor.
Jelas beliau, perluasan terbaharu PDC BMW Group membawa beberapa penambahbaikan yang ketara, termasuk Kawasan Penyimpanan Bateri Voltan Tinggi (HV) yang dibina khusus serta sistem rak lorong sangat sempit (VNA) yang moden.
“Konfigurasi dua tingkat fasiliti ini menyediakan peluang untuk perluasan pada masa hadapan, manakala penggunaan bumbung panel solar menyokong inisiatif kemampanan BMW Group dengan lebih meluas,” katanya.
Menurut Benjamin, sejak penubuhannya di Zon Perindustrian Bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, PDC telah menyaksikan pertumbuhan yang berterusan dalam perolehan tahunannya.
“Ini meningkatkan keupayaan perniagaan daripada 141 juta euro (RM775.5 juta) pada 2017 kepada lebih 277 juta euro (RM1.46 bilion) pada 2023, peningkatan hampir 97 peratus dalam pertumbuhan dan hampir dua kali ganda daripada ketika fasiliti tersebut mula beroperasi.
“Fasiliti ini mengendalikan lebih 100,000 inventori masuk dan keluar setiap bulan mengekalkan tahap perkhidmatan sekitar 90 peratus untuk lebih 20 pasaran yang berbeza di rantau ini.
“Pencapaian ini menunjukkan kemampuannya yang kukuh dalam memenuhi keperluan pelbagai pasaran,” katanya.
Jelas beliau, fasiliti PDC menguruskan stok dengan hampir 52,000 alat ganti, yang mana sekitar 30 daripadanya merupakan bateri voltan tinggi serta mengekalkan kadar pengambilan dan pembungkusan tepat waktu melebihi 99 peratus serta 99.5 peratus bagi barangan yang dihantar dalam kondisi sempurna.
“Setiap minggu, 15 unit kontena 40 kaki dihantar menerusi pengangkutan laut BMW Group dan 33,000 meter padu menerusi penghantaran udara.
“Di peringkat domestik, fasiliti ini menguruskan 42 trak untuk penghantaran keluar ke Malaysia, Singapura dan Thailand setiap minggu,” katanya.-UTUSAN










