Dari peminat K-Pop kepada pengusaha sos Korea

Daripada peminat K-Pop kepada pengusaha sos Korea

NUR Asiah Kuzaiman mempunyai 30 produk termasuk sos Korea yang dipasarkan di bawah jenama Tikitaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan minat pada musik K-Pop, Pengasas Asiah Kuzaiman Enterprise, Nur Asiah Kuzaiman, 34, kini sudah menjadi pengusaha sos Korea dengan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perniagaan yang diusahakan bersama dengan suaminya, Aswad Latif, 38, sebagai Pengasas Bersama itu menjadi pilihan ramai pengusaha makanan Korea dalam penyediaan makanan mereka serta boleh didapati di pasaran untuk pengguna am secara terus.

Nur Asiah yang mula berminat untuk terlibat dalam bidang makanan dan minuman (F&B) semasa tahun akhir pengajian Sarjana Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Katanya, dia mendapati terdapat potensi dan permintaan yang tinggi terhadap makanan Korea terutamanya dengan pengaruh daripada negara tersebut.

“Oleh itu, saya telah membuat kajian, mencuba makanan di kedai dan restoran makanan Korea di sini dan seterusnya menghasilkan sos Korea kami sendiri serta mula menjual pada 2018.

“Resepi kami diolah bagi menepati citarasa dan lidah rakyat Malaysia. Permintaan terhadap sos Korea ini sangat tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga boleh mencapai sehingga jualan RM10,000 hingga RM12,000 sebulan.

“Atas permintaan yang memberangsangkan ini, kami yang hanya mengusahakan sos ini dari rumah telah membuat keputusan untuk berpindah ke premis semasa pada 2020,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premisnya di Persiaran Bukit Raja, Bandar Baru Klang di sini baru-baru ini.

Nur Asiah berkata, sos Korea keluarannya yang dipasarkan atas jenama Tikitaka kini mencapai jualan kira-kira RM20,000 hingga RM30,000 sebulan dengan kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak satu tan sos sebulan.

Tambahnya, produknya yang saya boleh didapati di platform e-dagang seperti Shopee dan Tik Tok Shop serta pasar raya iaitu di ST Rosyam Mart itu kini sudah mempunyai 110 unit simpanan stok (SKU) melibatkan 30 produk.

“Sasaran kami adalah untuk menjadi antara pembekal makanan Korea utama di Malaysia terutamanya kerana kami telah menerima pensijilan halal pada Ogos lalu, sekali gus meningkatkan keyakinan daripada pelanggan perniagaan untuk mengambil sos dari kami.

“Selain itu, 95 peratus daripada bahan mentah kami diperoleh daripada sumber tempatan. Cuma serbuk cili sahaja kami import dari China kerana bagi mendapatkan rasa cili yang sama dengan makan Korea,” ujarnya.

Memandang ke hadapan, dia menyasarkan untuk memperkasakan kajian pasaran untuk memasuki pasaran eksport menjelang akhir 2026.

“Selepas itu, kami yang memberi tumpuan kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Ketika ini, kebanyakan botol yang kami gunakan adalah kaca bagi mengurangkan penggunaan plastik,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×