Bandar pintar tingkat kualiti hidup penduduk

Bandar pintar tingkat kualiti hidup penduduk

BANDAR pintar akan menjadi pemangkin kepada ekonomi negara.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR pintar merupakan satu pembangunan penempatan manusia yang mengintegrasikan teknologi, data, infrastruktur bandar dan kelestarian alam untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk. 

Pendekatan reka bentuknya perlu holistik, mementingkan data elemen penting untuk sesuatu pendekatan dan solusi perancangan dibuat. 

Ia juga perlu fleksibel dan mudah diadaptasi berdasarkan panduan data dan kecerdasan  buatan (AI).

Sehubungan itu, Pe­ngarah VERITAS Design Group, Ar. Azril Amir Jaafar berkata, pembangunan bandar pintar perlu mempunyai infrastruktur yang baik. 

“Pihak yang terlibat perlu mengelakkan mengabaikan pembinaan dan pembaikan jalan serta tempat awam. 

“Selain itu, pusat pengumpulan data perlu bagi membolehkan infrastruktur untuk pengumpulan dan analisis data yang menjadikan keputusan perancangan lebih bermakna. Lebih baik, adakan sesi penglibatan penduduk sebagai platform untuk mendapatkan maklum balas dan penglibatan dari komuniti setempat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas beliau, pihak yang terlibat perlu membuat dasar yang memudahkan inovasi dan pengembangan teknologi baharu.

“Ini termasuk ke­selamatan dan privasi data, memastikan data yang dikumpul dilindungi dengan baik dan digunakan secara beretika,” katanya. 

Sebagai arkitek bertauliah, Azril Amir berkata, infrastruktur internet yang pantas dan stabil untuk semua penduduk dan perniagaan penting dalam pembangunan bandar pintar.

“Data perlu digunakan untuk mendapat sesuatu sistem pengangkutan yang efisien, termasuk pengangkutan awam yang pintar dan pengurusan trafik. Data juga boleh dikumpul melalui pengguna yang menggunakan sistem pengangkutan awam ini. 

“Ini turut melibatkan sistem pengurusan air, tenaga, dan sisa yang efisien dan mesra alam, sistem keselamatan awam yang canggih, termasuk pengawasan dan sistem tindak balas kecemasan, platform untuk komunikasi dan penglibatan masyarakat dalam proses perancangan bandar.

“Di samping itu, reka bentuk mesra alam seperti ruang hijau dan infrastruktur yang menggalakkan kelestarian,” katanya. 

Beliau menambah, inisiatif bandar pintar juga memerlukan pembiayaan yang besar tetapi keberkesanannya berpotensi memberi pulangan melalui peningkatan kualiti hidup dan ekosistem perniagaan yang le­bih baik. 

“Walaupun projek ini mungkin mencabar dari sudut pembiayaan, jangkaan hasil jangka panjang menjadikannya sebagai pelaburan yang relevan. Kerajaan perlu memastikan ada mekanisme pembiayaan yang mencukupi serta merangsang pelaburan swasta,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Adika Hakmi Ab. Ghani, 35 berkata, pembangunan bandar pintar diharap dapat mewujudkan kemudahan yang lebih baik untuk dinikmati oleh komuniti.

“Ia termasuk seperti sistem pengangkutan yang efisien, akses mudah kepada perkhidmatan awam dan ruang hijau yang mencukupi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×