TREND mentransformasi rumah kepada ruangan kafe estetik semakin meningkat tidak kira di bandar-bandar besar mahupun di kawasan luar bandar.
Ini kerana, ramai peminat kafe estetik yang sanggup memandu berjam-jam dan melalui kawasan desa hanya untuk menikmati makanan dan estetika unik sesebuah kafe.
Namun, fenomena ini dikatakan mampu untuk memberikan kesan kepada nilai hartanah serta mempengaruhi keharmonian komuniti setempat.
Menjelaskan perkara itu, Pengarah VERITAS Architects Sdn. Bhd., Ar Azril Amir Jaafar berkata, sebarang transformasi di kawasan kediaman penduduk mempunyai kesan yang tersendiri terutamanya dari segi hartanah.
“Dari sudut positif, kehadiran kafe yang berkualiti dan berprestij dilihat mampu meningkatkan daya tarikan sesuatu kawasan perumahan sekali gus menarik lebih ramai pembeli.
“Kesibukan terhadap kehidupan sosial yang aktif di sesuatu kawasan itu juga secara tidak langsung mampu untuk melonjakan nilai hartanah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, dari sudut kehidupan sosial lain, kafe boleh menjadi pusat sosial di mana penduduk berinteraksi dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain seterusnya boleh membantu mewujudkan suasana kejiranan yang lebih harmoni dan rapat.
“Dalam sesetengah kes, kafe juga berfungsi sebagai platform bagi acara atau aktiviti komuniti, yang memberi peluang kepada penduduk untuk terlibat dalam aktiviti bersama.
“Kehadiran tempat pertemuan sosial ini memberi nilai tambah kepada kehidupan harian mereka dan meningkatkan kualiti hidup dengan menyediakan tempat untuk bersantai atau berkongsi idea,” ujarnya.
Bagaimanapun, jelasnya, sebarang perubahan sudah pasti menimbulkan kesan terhadap komuniti setempat.
“Antaranya ialah masalah kebisingan dan kesesakan lalu lintas. Kafe yang menarik ramai pengunjung mungkin menyebabkan gangguan bunyi kepada penduduk yang tinggal berhampiran.
“Tambahan pula, peningkatan jumlah kereta yang parkir di tepi jalan juga boleh mencetuskan masalah kesesakan, terutamanya di kawasan perumahan yang sudah sedia padat,” katanya.
Beliau berkata, masalah keselamatan dan kebersihan juga perlu diambil kira kerana sekiranya kafe tidak diurus dengan baik, masalah seperti pembuangan sampah yang tidak terkawal atau kehadiran pelanggan yang tidak bertanggungjawab boleh menyebabkan keadaan persekitaran menjadi tidak selesa.
“Faktor-faktor ini boleh memberi kesan negatif terhadap imej dan nilai hartanah di kawasan berkenaan.
“Selain kesan kepada nilai hartanah, kewujudan kafe juga boleh memberi impak kepada keharmonian komuniti setempat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menambah, dari perspektif infrastruktur, kehadiran kafe mungkin memerlukan penyesuaian kepada kemudahan sedia ada seperti laluan trafik, parkir dan kebersihan awam.
“Pihak berkuasa tempatan mungkin perlu mengkaji semula perancangan kawasan tersebut bagi memastikan infrastruktur yang ada mampu menampung peningkatan aktiviti ekonomi yang dibawa oleh kewujudan kafe.
“Secara keseluruhannya, kesan kewujudan kafe di kawasan perumahan adalah bergantung kepada pelbagai faktor seperti lokasi, jenis kafe dan cara ia diurus. Jika dikendalikan dengan baik, ia boleh menjadi elemen yang memperkayakan komuniti dan meningkatkan nilai hartanah.
“Namun, jika tidak diurus dengan bijaksana, ia boleh menimbulkan masalah yang mungkin merosakkan keharmonian dan kesejahteraan penduduk,” katanya.
Sementara itu, pengasas bersama Night’s Kopi, Musab Roslan berkata, pemilihan kawasan yang berdekatan dengan kawasan perumahan adalah disebabkan mudah untuk mendapatkan pelanggan.
“Disebabkan kekurangan modal dalam menjalankan perniagaan pada awalnya, kawasan laman rumah menjadi pilihan utama kerana sudah pasti akan mendapat perhatian daripada kawasan setempat.
“Jadi, dengan menjalankan perniagaan di kawasan rumah sendiri secara tidak langsung dapat menjimatkan kos operasi kafe.
Tambahnya, sepanjang menjalankan perniagaan di kawasan perumahan masih tiada lagi sebarang aduan daripada penduduk setempat.
“Kami sudah jalankan perniagaan agak lama dan sehingga kini masih tiada lagi sebarang aduan atau masalah yang terpaksa dihadapi dari kawasan kejiranan.
“Malah, mereka ini antara pelanggan utama,” ujarnya.-UTUSAN










