PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Titijaya Land Berhad (Titijaya) memeterai perjanjian dengan pengeluar aluminium, Press Metal Aluminium Holdings Berhad (Press Metal) sebagai pelanggan pertama bagi Kediaman dan Penginapan Pekerja (HALO), projek kuarters pekerja berpusat (CLQ) kumpulan di Klang Sentral.
Menurut kenyataannya, Titijaya PMC Sdn. Bhd., anak syarikat kumpulan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PMB Aluminium Sdn Bhd, anak syarikat Press Metal pada 30 September 2024 yang menjadi asas kepada perjanjian sewa jangka panjang antara kedua-dua pihak.
Di bawah terma MoU tersebut, PMB Aluminium akan menyewa sebahagian daripada HALO untuk tempoh minimum tiga tahun bagi menampung sekurang-kurangnya 350 pekerjanya.
Pembangunan HALO, yang menyediakan penginapan pekerja yang lestari dan selesa untuk industri-industri di kawasan sekitar, mencerminkan fokus utama Titijaya dalam memenuhi permintaan untuk pembangunan hartanah yang mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata, HALO akan menyokong keperluan penginapan pekerja Press Metal pada masa kini dan akan datang, sambil meningkatkan kebajikan pekerja mereka serta selari dengan amalan terbaik ESG.
Katanya, HALO mencerminkan komitmennya terhadap ESG dalam portfolio pembangunannya.
“Apabila siap kelak, ia akan mempunyai lebih daripada 3,000 unit yang lestari dan selesa yang akan membantu menangani kekurangan penginapan pekerja di Klang dan Shah Alam.
“Sebagai projek infrastruktur penting yang memanfaatkan pertumbuhan pesat sektor perindustrian di Lembah Klang, HALO berpotensi membuka aliran pendapatan berulang untuk Kumpulan.
“Ini akan mempelbagaikan asas pendapatan kami dan menyumbang kepada momentum pertumbuhan positif kami,” katanya.
Tambahnya, pembinaan HALO dijangka bermula pada tahun kewangan 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.
“HALO akan menjadi pembangunan khas setinggi 10 tingkat yang mampu menampung 3,000 pekerja.
“Ia akan mematuhi piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang digariskan oleh kerajaan Malaysia serta piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Responsible Business Alliance (RBA),” ujarnya. – UTUSAN










