Sijil halal beri impak coklat tempatan Nokona

Sijil halal beri impak coklat tempatan Nokona

AISHAH Azizan menunjukkan antara produk coklat jenama Nokona yang dihasilkan di kilang CnW Jitra Manufacturing di Taman Industri KEDA, Napoh Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pengeluar coklat tempatan jenama Nokona Taste yang popular di utara tanah air, CnW Jitra Manufacturing (M) Sdn. Bhd. tidak menafikan pensijilan halal yang diperoleh sejak 2018 memberi impak positif ke atas perniagaan tersebut.

Pengarah Urusan syarikat, Aishah Azizan berkata, Nokona Taste yang mempunyai 50 jenis coklat itu menawan selera penduduk tempatan terutama bagi mereka yang mementingkan produk halal.

“Sebagai sebuah syarikat muslim kami mempercayai semua produk yang dihasilkan harus diyakini oleh pelanggan dan satu daripadanya adalah mendapat status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membolehkan produk-produk kami dinikmati tanpa was-was. 

“Setiap produk kami mempunyai sijil halal tersendiri termasuk kompaun coklat yang menjadi signature. Apabila berkata tentang halal ia bukan semata-mata tentang bahan yang digunakan tetapi pembuatan dan persekitaran kilang kami yang harus mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak berwajib.

“Kilang coklat ini yang dibuka pada 2010 memperoleh sijil halal pada 2018. Ia satu proses yang panjang namun berbaloi kerana Nokona Taste semakin digemari,” katanya ketika ditemui di kilang CnW Jitra Manufacturing di Taman Industri KEDA, Napoh baru-baru ini.

Menurut Aishah, selain pensijilan halal, kilang tersebut juga mendapat pengiktirafan Amalan Perkilangan Baik (GMP) sekali gus memberi nilai tambah kepada produknya.

“Pensijilan halal dan GMP ini seiring untuk memastikan produk kami terbaik kepada pelanggan terutama dari segi keselamatannya. Pensijilan ini juga membolehkan syarikat ini melebarkan sayap ke seluruh negara termasuk negara jiran.

“Ketika ini Nokona Taste hanya dipasar secara dalam talian, melalui ejen dan kedai kami di kilang ini. Kami berhasrat untuk memasarkan produk ini ke tempat lain juga,” jelas usahawan berusia 49 tahun itu.

Menyentuh tentang penubuhan syarikat itu, kata Aishah, minat mendalam terhadap bidang pembuatan coklat sejak kecil memberi semangat kepadanya untuk membuka kilang berkenaan.

“Saya mempunyai kepakaran teknologi maklumat namun perniagaan ini adalah minat saya. Saya juga merasakan sebagai seorang Islam, kita harus menyediakan produk yang halal kerana itu fardu kifayah.

“Dari segi nama Nokona pula, ia sebenarnya diambil daripada perkataan Jepun yang bermaksud kaya, tetapi bagi orang Kedah ia bermaksud jangan belok (no konar) sama seperti perniagaan ini walaupun terpaksa tempuh banyak dugaan terutama dengan harga bahan mentah seperti koko yang meningkat tetapi kita jalan terus sahaja,” ujarnya.

Menurut Aishah, produk coklatnya dijual pada harga RM1.50 hingga RM70 yang meraih perhatian terutama coklat kompaun.

“Kami akan mempelbagaikan jenis mengikut permintaan seperti sekarang popular coklat ala Dubai jadi kami turut menghasilkannya dan mendapat permintaan kerana ia dijual pada harga RM25 sahaja,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN