KUALA LUMPUR: Rumah Makan Nusantara, sebuah restoran Indonesia pertama dan satu-satunya dibuka di Sunway Putra Hotel dekat sini yang menyajikan hidangan asli Indonesia menggunakan bahan mentah halal dalam suasana hotel.
Pengurus Makanan Minuman, Sunway Hotel Putra Kuala Lumpur, Salim Majid berkata, restoran ini menawarkan berbagai hidangan ala carte dan set hidangan istimewa Indonesia.
“Menu kami menampilkan pilihan istimewa menjelajahi cita rasa dari pelbagai daerah termasuk sop bakso, nasi goreng kambing, sate Madura dan Padang.
“Hidangan lain yang wajib dicuba termasuk ketoprak, soto Betawi dari Jakarta, tongseng kambing dari Jawa Tengah, ayam bakar Taliwang, ikan nila goreng kicap, udang harimau bakar, nasi goreng kambing, gado gado, tauhu telur, jus alpukat serta es teler,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Salim, Rumah Makan Nusantara yang menawarkan lebih 70 pilihan dalam menu itu, memberi peluang pelanggan yang merindui masakan asli Indonesia untuk merasai makanan tersebut di bandar raya Kuala Lumpur.
“Kami bawakan masakan asli Cef Indonesia untuk menjaga keaslian makanan tersebut untuk memudahkan pelanggan merasai makanan ini tanpa perlu terbang ke Indonesia.
“Lebih menarik, setiap makanan ala carte yang disediakan boleh dinikmati untuk dua orang dengan harga yang berpatutan, ” katanya.
Selain itu, Salim menambah, restoran itu turut menyediakan beberapa set makanan tengahari untuk pelanggan terdiri daripada set makan siang bermula harga RM32 yang menawarkan menu berbeza bermula Isnin hingga Jumaat.
“Ini seperti set ayam geprek (Isnin), soto Betawi (Selasa), ikan nila cabe ijo (Rabu), nasi goreng gila (Khamis) dan sate ayam goreng (Jumaat) serta Ngopi-Ngeteh Set untuk minuman petang dengan harga RM28 satu set.
“Rumah Makan Nusantara juga boleh memuatkan 120 pelanggan dalam satu-satu masa,” ujarnya.
Jelas Salim itu, ayam bakar Taliwang dan nasi goreng kambing menjadi pilihan pelanggan yang berkunjung ke hotel itu.-UTUSAN










