PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) mengumumkan kerugian bersihnya mengecil bagi tahun kewangan 2024 didorong lonjakan jualan melonjak dan keuntungan daripada penjualan tanah.
Dalam pemfailian di Bursa Malaysia, Top Glove mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM3.57 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2024, berbanding RM461.73 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Bagi suku sama, pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 75 peratus tahun ke tahun kepada RM835.31 juta daripada RM476.06 juta.
Dalam pada itu, bagi keseluruhan tahun kewangan pula, syarikat mencatatkan kerugian bersih yang lebih rendah pada RM61.81 juta daripada RM925.22 juta tahun sebelumnya dan peningkatan hasil sebanyak 11 peratus pada RM2.52 bilion.
Katanya, prestasi kumpulan yang meningkat dengan ketara adalah disebabkan oleh peningkatan volum jualan apabila pelanggan terus mengisi semula inventori sarung tangan, yang membawa kepada kadar penggunaan yang lebih tinggi dan peningkatan kecekapan kos.
“Kumpulan menyaksikan pertumbuhan yang sangat kukuh di Amerika Syarikat (AS), dengan volum jualan meningkat 120 peratus dari suku ke suku, didorong lagi oleh bilangan tinggi sarung tangan pengeluar asing yang termasuk dalam senarai amaran import Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS.
“Dengan pengenaan tarif tinggi yang bakal dilaksanakan oleh AS ke atas sarung tangan perubatan buatan China, kumpulan menjangkakan peningkatan yang lebih besar dalam pertumbuhan volum jualan pada suku-suku yang akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Top Glove, Cheong Guan berkata, prestasi kewangan kumpulan yang meningkat dengan ketara sepanjang tahun kewangan 2024 membawa syarikat lebih dekat kepada titik pulang modal.
“Ini adalah petunjuk yang kuat terhadap kebangkitan pasaran dan kami berada dalam posisi yang baik untuk meraih gelombang pemulihan.
“Kemajuan konsisten kami didorong oleh inisiatif penambahbaikan yang berterusan dan dengan sokongan berterusan daripada kakitangan kami. Kumpulan yakin berada di landasan yang tepat menuju keuntungan dan pertumbuhan yang mampan,” ujarnya.-UTUSAN










