Ringgit, bursa dijangka terus dipengaruhi risiko geopolitik

Ringgit, bursa dijangka terus dipengaruhi risiko geopolitik

RINGGIT dijangka berlegar antara RM4.21 hingga RM4.22 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi ringgit dan Bursa Malaysia dijangka terus dipengaruhi oleh risiko geopolitik, khususnya dengan serangan berterusan tentera Israel terhadap Lubnan yang bertentangan dengan saranan negara-negara maju Kumpulan Tujuh (G7). 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, keadaan itu menunjukkan ketegangan geopolitik akan terus meningkat. 

“Oleh itu, selera risiko dalam kalangan pedagang saham, mata wang dan pelabur dijangka kekal rendah kerana strategi utama ketika ini adalah untuk melindungi prinsipal pelaburan.

“Akibatnya, peruntukkan aset akan lebih cenderung kepada pasaran wang yang berisiko rendah tetapi masih mampu memberikan pulangan, walaupun pada kadar yang rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd. Afzanizam, nilai tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka berlegar antara RM4.21 hingga RM4.22 pada minggu ini.

Jelasnya, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pula dijangka bergerak dalam julat sempit antara 1,625 hingga 1,635 mata.

“Pelabur dijangka berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan memandangkan situasi pasaran yang masih tidak menentu. 

“Julat sempit yang diunjurkan antara 1,625 hingga 1,635 mata mencerminkan ketidaktentuan ini, terutamanya dengan faktor-faktor ekonomi global yang mempengaruhi sentimen pasaran.

“Pada masa yang sama, indikator ekonomi domestik seperti pertumbuhan inflasi dan prestasi sektor-sektor utama akan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi sentimen pelabur.

“Sebarang tanda-tanda pemulihan ekonomi yang lebih luas akan menjadi isyarat positif yang dapat menyokong kestabilan mata wang dan pasaran saham,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pasaran buruh di AS dilihat berada keadaan yang baik setelah angka data pasaran buruh Nonfarm Payroll (NFP) di AS  yang mengukur jumlah pekerjaan yang diwujudkan meningkat.

“Angka itu telah meningkat ke paras 254,000 pada September lalu dan melebihi jangkaan para penganalisis iaitu 147,000. 

“Justeru itu, angka itu dilihat bakal mengukuhkan nilai dolar AS disebabkan pihak rizab persekutuan (Fed) AS yang dijangka menurunkan kadar faedah dengan secara beransur-ansur,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN