PETALING JAYA: Proton kekal sebagai jenama terlaris bagi sedan di Malaysia selepas lebih 40 tahun penubuhannya dengan 3.85 juta unit terjual sejak pelancaran Proton Saga pada 9 Julai 1985.
Pembuat kereta nasional berkata, Proton S70 yang dilancarkan pada November tahun lalu menjadi pilihan utama dalam kategori sedan segmen C dengan jumlah jualan mencecah 14,877 unit dari awal tahun sehingga September lalu.
Katanya, jualan keseluruhan telah mengatasi pesaing lain dalam kategori yang sama dengan purata 1,640 unit terjual sebulan sejak Januari tahun ini.
Jelasnya, model ini mendahului jualan dalam segmennya, dengan tiga negeri teratas iaitu Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
“Namun, penyumbang terbesar dalam kumpulan ini ialah Proton Saga yang sentiasa relevan, dengan jualan melebihi dua juta unit sejak pelancarannya pada 9 Julai 1985 hingga bulan September tahun ini.
“Model ini telah melalui perubahan besar menerusi tiga generasi, dengan peningkatan dari segi keselamatan, reka bentuk, prestasi, keselesaan dalaman dan ciri-ciri pembangunan platform dan casis serta badan yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, Proton sangat berbangga dengan hubungan erat dengan keluarga Malaysia yang bermula sejak tahun 1980an.
“Sedan kami, dari Saga yang ikonik hingga S70 yang inovatif bukan sahaja berfungsi sebagai kereta pertama yang boleh diharap tetapi juga telah menjadi warisan keluarga yang dihargai, mencipta kenangan yang abadi merentasi generasi.
“Dengan lebih 3.85 juta unit terjual, kami terus komited untuk memberikan kualiti, keselamatan, dan inovasi, memastikan setiap kenderaan mencerminkan dedikasi kami terhadap keperluan pelanggan yang semakin berkembang,” katanya.
Sedan keluaran Proton dibina oleh ikon-ikon negara seperti Proton Saga, Proton Wira dan Proton Waja, yang pernah digunakan sebagai kereta polis di Humberside County, United Kingdom, dua generasi Proton Persona, Proton Prevé dan kini tambahan terbaharu dalam keluarga sedan iaitu Proton S70.-UTUSAN










