DUNIA sekarang penuh dengan ilusi pemasaran tetapi ini terpaksa dilakukan setelah fenomena media sosial bermula.
Media sosial menghasilkan pengguna baharu yang lebih mementingkan gaya hidup dan reka bentuk. Praktikal, prestasi dan kelasakan bukan lagi ciri utama kerana imej yang diberikan oleh produk itu kepada seseorang individu adalah jauh lebih penting.
Hasilnya, kita ada produk-produk ‘bayangan’ di mana ia membayangkan kebolehan palsu seperti kenderaan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tahap lasaknya sama sebenarnya dengan kereta biasa.
Contoh terbaik ialah Peugeot 408, pengganti sedan 407 dahulu. Ia kini bukan lagi sedan, tetapi sebuah fastback crossover atau SUV.
Walaupun kebolehannya bermain di laluan lasak adalah sebaik sedan biasa, tetapi imej yang diberikan cukup menarik.
Dari segi luaran, 408 ini 52 milimeter (mm) lebih panjang dari Honda Civic dan 63 mm lebih tinggi. Namun begitu, ia lebih kecil dari Toyota Camry.
Jarak lega bumi sebenarnya tinggi, 28 mm lebih tinggi dari Toyota Corolla Cross (kenderaan yang nampak lebih SUV dari Peugeot ini).
Namun begitu, bentuk badan fastback seperti Proton Wira Aeroback ini, ditambah dengan garisan garang, bodykit agresif dan lampu belakang gaya supercar dari Itali, Peugeot 408 ini memang akan menarik perhatian sesiapa sahaja.
Penulis mencuba 408 varian Premium iaitu model pertengahan yang datang dengan harga RM169,000.
408 Premium memang lebih premium dari 408 Allure (RM146,000) tetapi lebih ‘miskin’ dari 408 GT (RM196,000). Perbezaan sebenarnya lebih kepada kelengkapan dan aksesori tetapi enjin dan transmisi kekal sama.
Malah, jika dikirakan logik akal, varian Allure dan Premium kemungkinan besar lebih tegar pecutannya berbanding dengan GT kerana lebih ringan. GT juga didatangkan dengan roda aloi saiz 20 inci, jauh lebih berat dari roda aloi 18 inci untuk Allure dan Premium.
Tak apa, itu semua ada tertulis di dalam risalah produk dan anda boleh bandingkan kelengkapan yang ada untuk semua varian tetapi yang penting, prestasi mereka sebenarnya lebih kurang sama.
Tenaga maksimum melebihi 200 hp dan capaian daya kilas ialah 300 Nm, jauh lebih hebat dari Honda Civic dan semestinya Mazda3 Hatchback. Dilengkapi dengan turbo moden, enjin 1.6L PureTech ini terasa segar dan daya kilas yang mencurah-curah masuk bila pendikit ditekan.
Tiga mod pemanduan ditawarkan ialah Eco, Normal dan Sport tetapi mod Normal menjadi pilihan penulis kerana hantaran tenaga yang lebih linear dan tukaran gear yang lebih lancar. Paddle shifters di belakang stereng membantu pemandu untuk menukar nisbah transmisi secara manual.
Dibantu dengan sistem gantungan pegas MacPherson di depan dan torsion beam di belakang, 408 Premium cukup mengujakan di laluan berliku seperti dari Alor Gajah ke Masjid Tanah melalui Brisu.
Ia menggigit selekoh dengan baik, membuatkan tayar SUV dari GoodYear itu terasa cukup bagus. Stereng kecil yang mudah dipaut dan dikawal itu sebenarnya menambahkan lagi ciri sporty crossover Perancis ini.
Kekurangannya ialah ia tidak mampu menandingi keselesaan Honda Civic atau Volkswagen Golf. Cuma dari pengalaman penulis, ‘kekasaran’ minimum ini ialah karektor Peugeot di mana peminatnya mahukan sedikit ‘drama’ ketika memandu.
Penulis terpaksa menyokong kerana ia membuatkan 408 ini terasa ‘lain’ dan istimewa. Cara ia memandu adalah antara punca kenapa peminatnya tergila-gilakan jenama Peugeot, walaupun kita tahu ia tidak begitu menarik dalam pasaran kenderaan terpakai dan tidak selasak produk Jepun atau Jerman.
Penggunaan bahan api ialah dalam lingkungan 9.0 ke 10.0 liter untuk setiap 100 kilometer (km). Walaupun dibawa laju, penggunaan petrol masih boleh dikatakan baik.
Dari segi kelengkapan dalaman, sebenarnya 408 Premium sudah lebih dari mencukupi dan terasa kemewahannya. Cuma ia tidak akan semewah 408 GT yang lebih banyak kelengkapan dan gajet.
Adakah ia sebuah SUV atau crossover?
Penulis rasakan ia cumalah satu gimik untuk menjadikan 408 ini unik dan tiada pesaing. Mungkin kerana itu, ia boleh dipandu seperti sebuah sedan sporty dan prestasi daya kilas yang cepat masuk memudahkan penulis memotong kenderaan-kenderaan selembab siput babi bunting.
Di dalam, aplikasi Apple CarPlay atau Android Auto boleh digunakan dengan kabel atau tanpa kabel. Stereng kecil itu dipadankan dengan papan pemuka i-Cockpit, sesuatu yang membuatkan Peugeot terus unik.
Pemilik baharu mungkin tidak biasa melihat paparan meter di atas stereng tetapi selepas beberapa hari, ia tidak menjadi masalah langsung.
Untuk pemandu yang tinggi dan berisi, posisi stereng yang rendah itu akan menyukarkan sedikit pergerakan badan keluar dari kenderaan. Mungkin Peugeot boleh memprogram tempat duduk pemandu agar bergerak ke belakang sedikit bila enjin dimatikan, memberikan sedikit ruang agar peha tidak tersangkut dengan stereng.
Sukar untuk dikongsi perasan memandu Peugeot 408 Premium ini tetapi selepas sekian lama memandu uji kenderaan-kenderaan dari China yang tak putus-putus dilancarkan dan juga deretan kenderaan elektrik (EV) yang berat mengalahkan gajah bunting, pengalaman memandu 408 Premium ini membuatkan penulis yakin kenderaan berenjin dari Perancis akan tetap mempunyai peminatnya dari kalangan kaki kereta.
Modern, cantik, luas, seronok dipandu dan selesa di dalam, sedan atau SUV atau crossover ini ialah satu tawaran Peugeot yang boleh membuatkan seseorang itu tidak tidur malam.
Spesifikasi
Enjin: 1.6L Turbo PureTech
Kuasa maksimum: 218hp @ 5,750 rpm
Daya kilas maksimum: 300Nm @ 2,000 rpm
Transmisi: 8-kelajuan auto; pacuan roda depan
Ciri-ciri keselamatan:
6 beg udara, Adaptive Cruise Control, brek kecemasan autonomi, Active Hood, Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta, Amaran Laluan Kenderaan Belakang, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Tekanan Udara Tayar
Harga: RM168,755 atas jalan, tidak termasuk insuran
Waranti: tujuh tahun atau 200,000 km, mana terdahulu-UTUSAN










