PETALING JAYA: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menyifatkan peruntukan RM1.3 bilion dalam Belanjawan 2025 untuk memperkasa kontraktor G1 hingga G4 khususnya bumiputera sebagai ‘durian runtuh’ kepada 120,000 kontraktor tersebut di negara ini.
Presidennya, Datuk Azman Yussof berkata, penekanan dana tersebut amat perlu bagi membantu golongan kontraktor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan perniagaan mereka.
“Alhamdulillah, peruntukan yang dilaksanakan oleh libat urus bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini.
“Pihak persatuan telah memohon kepada kerajaan bagi membantu golongan kontraktor G1 hingga G4. Dengan peruntukan ini akan memudahkan kontraktor memohon dana kepada pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) termasuk agensi lain yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kontraktor kelas G1 membabitkan projek tidak melebihi RM200,000, G2 (RM500,000), G3 (RM1 juta) dan G4 (RM3 juta).
Ketika ini, kontraktor G1 berjumlah 67,167, G2 (23,159), G3 (19,183) dan G4 (5,756).
Menurut beliau, pihak persatuan juga berharap institusi kewangan terlibat agar mengenakan caj minimum dan rendah kepada golongan kontraktor terbabit.
“Kami juga telah memaklumkan kepada pihak Kementerian Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan MOF semasa libat urus sebelum ini. Mereka (pihak yang terlibat dalam libat urus) itu amat cakna dan mengambil peduli kepada kontraktor kecil ini,” katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata, pihak persatuan juga ingin menarik kontraktor agar sentiasa bersedia dengan teknologi terkini.
“Usaha ini boleh dibuat melalui Program ACE atau Accelerator Programme For Construction Entrepreneurs untuk pembangunan usahawan kontraktor generasi baharu hasil dari inisiatif Kerajaan Malaysia melalui MOF dengan kerjasama CIDB di bawah Pelan Belanjawan Negara 2022.
“Program ini khusus kepada graduan bumiputera pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan kontraktor belia bumiputera gred G1 hingga G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan On the Job Training (OJT).
“Kami juga akan memastikan kontraktor ini mengikuti perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan dron serta beberapa teknologi baharu bagi membolehkan mereka seiring dengan perkembangan teknologi,” katanya.
Sehingga kini, lebih 10,000 ahli dibawah PKBM.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju memperuntukkan RM1.3 bilion untuk memperkasa kontraktor G1 hingga G4 khususnya bumiputera.
Ini memberi peluang kepada kontraktor melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana seperti pembinaan jalan raya serta pembaikan dan penyelenggaraan prasarana awam.
Pada masa yang sama, sejumlah RM200 juta disediakan untuk Skim CAKNA 2 bagi menyokong aliran tunai kontraktor G1 hingga G4 menyiapkan projek berskala kecil kerajaan bernilai sehingga RM1.5 juta.-UTUSAN










