Pelepasan cukai korporat bersasar untuk tarik FDI bernilai tinggi

Pelepasan cukai korporat bersasar untuk tarik FDI bernilai tinggi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan melalui Belanjawan 2025 wajar mempertimbangkan pelepasan cukai korporat untuk menarik pelaburan asing langsung (FDI) untuk sektor bernilai tinggi, kata penganalisis ekonomi.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, keutamaan boleh diberikan kepada sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, perkhidmatan digital dan pembuatan.

“Pelepasan cukai tersebut perlu dilaksanakan secara bersasar terutama untuk syarikat yang menyumbang kepada sektor bernilai tinggi.

“Hal ini boleh meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global,” katannya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Fuad berkata, pihaknya juga mencadangkan reformasi cukai pendapatan peribadi progresif. 

Menurutnya, negara boleh melaksanakan sistem cukai yang lebih progresif untuk memastikan golongan berpendapatan tinggi menyumbang bahagian yang lebih besar bagi mengurangkan jurang pendapatan sedia ada.

“Selain itu, menaikkan cukai harus dilakukan secara bersasar seperti cukai ke atas produk alkohol dan tembakau selain cukai alam sekitar seperti cukai karbon. Peningkatan ini boleh membantu membiayai penjagaan kesihatan yang mampan dan peningkatan inisiatif hijau. 

“Peningkatan cukai bersasar juga mampu memberikan hasil yang diperlukan oleh kerajaan untuk membiayai barang dan perkhidmatan awam yang kritikal, tanpa menjejaskan daya saing. 

“Selain itu peningkatan ini menggalakkan amalan yang lebih sihat dan mampan selaras dengan trend global,” ujarnya.

Beliau berkata, sistem cukai Malaysia adalah stabil dan kestabilan ini membolehkan negara memastikan kecekapan dan keadilan yang lebih tinggi tanpa memerlukan pembaharuan segera dalam masa terdekat.

“Belanjawan 2025 berpotensi untuk membina kekuatan semasa, di samping menampung isu yang terpinggir dalam belanjawan sebelumnya. 

“Mengutamakan sektor seperti teknologi terutama kecerdasan buatan (AI), penjagaan kesihatan, pertanian mampan, selain melaksanakan pembaharuan cukai pintar dan insentif untuk pelaburan asing mampu mewujudkan masa depan yang lebih saksama, berdaya tahan, dan sejahtera untuk seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Belanjawan 2025 dijangka akan dibentangkan pada 18 Oktober ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN