KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Kelestarian Alam (NRES) mahu Belanjawan 2025 fokus pada usaha memperkasakan tadbir urus dan dan undang-undang dalam usaha melindungi alam sekitar.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan untuk membentuk sebuah model baharu bagi Jabatan Alam Sekitar.
“Melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kami telah meningkatkan hukuman penjara, tetapi kami juga perlu memastikan bahawa jabatan boleh benar-benar lengkap dan diberdayakan untuk menghadapi dan melindungi alam sekitar.
“Oleh itu, kami percaya bahawa kami boleh melihat model baharu untuk memberdayakan jabatan dan berharap akan diperincikan dalam belanjawan akan datang serta dilihat untuk Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis pelancaran Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM) di sini, semalam.
IGEM 2024 dilaksanakan bertujuan menjana RM4.8 bilion dalam prospek perniagaan dan mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap ekonomi hijau.
Persidangan itu berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Oktober ini berfungsi sebagai platform penting selama 15 tahun dan edisi tahun ini dijangka memperkukuh kepimpinan serantau dalam menangani kepentingan segera iklim.
Di bawah NRES, IGEM 2024 dilaksanakan oleh Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan The C0_LAB Pte. Ltd. sebagai rakan strategik.
IGEM tahun ini bersedia untuk memperluas pengaruhnya secara global dengan penyertaan daripada 480 pempamer dan 48,000 pengunjung dari 48 negara bagi mencapai pasaran baharu di Eropah, Asia Barat dan Afrika Utara.-UTUSAN










