PETALING JAYA: Produk makanan ringan, Muskmellow di bawah keluaran Maxbean Trading, berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan dan menawan pasaran tempatan dengan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun ini.
Pengarah Urusan Maxbean Trading, Shazleen Izura Shuib @ Yahya berkata, Muskmellow dalam perancangan untuk menawan pasaran Malaysia pada tahun ini dan menjadi pengusaha marshmallow halal pertama di Malaysia.
Jelasnya, Muskmellow kini dalam usaha untuk mendapatkan pensijilan halal daripada Jakim dan dalam proses mendapatkan geran daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Negeri Sembilan.
“Sijil halal bukan sekadar satu keperluan, tetapi juga tanggungjawab sosial syarikat untuk memenuhi tuntutan pasaran tempatan yang semakin meningkat terhadap produk yang diyakini bersih dan sesuai untuk semua golongan pengguna, khususnya umat Islam.
“Dengan adanya pensijilan halal, syarikat bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pelanggan tempatan, malah membuka peluang yang lebih besar untuk memasuki pasaran global.
“Kami memahami bahawa dalam industri makanan, isu kepercayaan sangat penting. Oleh itu, kami tidak hanya menekankan aspek halal, tetapi juga komitmen terhadap inovasi dan kualiti produk.
“Kami sentiasa memastikan setiap proses pembuatan dijalankan mengikut piawaian yang ketat, dari bahan mentah sehinggalah kepada pembungkusan akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, Muskmellow bermula dengan menjual secara kecil-kecilan di kedai runcit dan kedai makan secara luar talian pada April 2023.
“Bagaimanapun, kini produk ini telah diterima di stesen minyak Petronas dan saya mula menceburi penjualan secara dalam talian melalui platform media sosial seperti TikTok dan Shopee pada Oktober 2023.
“Alhamdulillah, sambutan di platform dalam talian sangat menggalakkan dan penjualan telah meningkat dengan ketara,” katanya.
Muskmellow mempunyai empat jenis coklat berasaskan marshmellow iaitu Muskmellow coklat, Muskmellow strawberry, Muskmellow biscoff dan yang terbaru Muskmellow pandan dengan cita rasa unik yang melambangkan cita rasa Malaysia.-UTUSAN










