KUALA LUMPUR: Malaysia mampu menjadi peneraju dalam tindakan iklim ke arah karbon sifar bersih, dengan menggabungkan dasar kukuh serta kekayaan sumber asli yang memberikan negara kelebihan kompetitif berbanding negara lain.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pihaknya menyasarkan untuk menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) tahun ini untuk memudahkan aktiviti pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) rentas sempadan.
Jelas beliau, kerajaan juga bakal membentangkan rang undang-undang pemerangkapan, penyimpanan dan penggunaan karbon (CCUS) di parlimen bulan depan, yang telah menjadi penanda aras kepada beberapa negara dengan piawaian diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Kepelbagaian biologi memberi kita kelebihan daya saing semula jadi, contohnya iklim yang cerah telah mendorong Malaysia menjadi pengeluar panel solar ketiga terbesar di dunia, manakala kedudukan sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar memudahkan kita menerima biojisim sebagai sumber bahan api alternatif.
“Cita-cita supaya Malaysia menjadi peneraju iklim serantau sebenarnya berada dalam jangkauan. Kekuatan sedia ada, disokong dasar kukuh bermakna kita boleh bersaing sehingga di luar kemampuan kita.
“Malah, negara lain semakin menyedari hal ini. Dalam penglibatan saya di Mesyuarat Menteri untuk Komuniti Ekonomi Sifar Asia, terdapat permintaan sebenar daripada Jepun dan Korea Selatan, malah Singapura supaya Malaysia menjadi peneraju dalam hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, pada masa sama, konteks perjalanan Malaysia ke arah sifar bersih perlu diperjelaskan sebaiknya dan sejak tahun 1750, Malaysia hanya menyumbang 0.37 peratus daripada pelepasan karbon dioksida.
“Pada masa sama, pentadbiran ini enggan mengabaikan tanggungjawab global, sebaliknya mengiktiraf bukan sekadar dorongan sosial, malah keperluan untuk memperlihatkan kepimpinan serantau.
“Bagi kami, ini adalah mengenai melaksanakan langkah-langkah yang bernas yang menjamin masa depan mampan untuk rakyat Asia Tenggara,” katanya.-UTUSAN










