KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat menjadi peneraju dalam penerapan dan inovasi teknologi rantaian blok (blockchain) sekali gus memastikan negara bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pemain utama yang membentuk pembangunan masa depannya.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, pihaknya komited membangunkan polisi, infrastruktur dan insentif yang diperlukan untuk menyokong penerapan blockchain secara meluas di pelbagai industri.
“Ini disebabkan pengiktirafan terhadap kepentingan blockchain semakin meningkat.
“Blockchain semakin diiktiraf sebagai teknologi teras yang memacu Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) bersama kecerdasan buatan (AI) dan Web3, memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam landskap digital global,” katanya dalam ucapan sempena Sidang Kemuncak Penerapan Teknologi Digital Malaysia: Blockchain, yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini, hari ini.
Beliau juga menekankan penyertaan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Digital Dunia IMD, di mana negara ini menduduki tempat ke-32 secara global.
“Kami komited untuk memupuk ekosistem digital yang kukuh dan berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau juga mengenal pasti beberapa bidang utama di mana teknologi blockchain dapat mengubah ekonomi Malaysia, termasuk penjagaan kesihatan, pengurusan rantaian bekalan dan kewangan.
“Blockchain meningkatkan ketelusan dan kebolehan jejak dari firma ke pengguna serta memberikan keselamatan yang diperlukan untuk kewangan terdesentralisasi (DeFi),” katanya.
Wilson Ugak turut melahirkan keyakinan bahawa, melalui usaha kolektif, Malaysia akan memacu masa depan digital yang berfikiran ke depan dan selamat.
“Saya yakin kita akan memimpin revolusi ke arah masa depan yang selamat dan inovatif, meletakkan Malaysia sebagai peneraju digital global,” katanya.
Dalam pada itu, Wilson Ugak menjelaskan, fokus strategik Malaysia terhadap teknologi blockchain meletakkan negara ini sebagai model bagi rantau Asean, beralih dari pengguna teknologi kepada pemain utama yang membentuk masa depan inovasi yang transformatif ini.
Penerimagunaan Blockchain di Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang luar biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sehingga 2024, lebih daripada 840,000 rakyat Malaysia telah membuka akaun dengan aset digital bursa yang dikawal selia dan sektor ini mencatatkan dagangan aset digital bernilai RM21 bilion pada tahun 2021, berbanding RM1.4 bilion pada tahun 2020. – UTUSAN










