Kembalikan GST untuk banteras ekonomi gelap - DPMM

Kembalikan GST untuk banteras ekonomi gelap – DPMM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan 2025, cadang Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). 

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, GST adalah rejim cukai paling cekap dan dipercayai dapat membanteras ekonomi gelap dalam pasaran di negara ini.

“Ekonomi gelap dianggarkan bernilai kira-kira RM300 bilion. Kena perkenal semula GST kerana ia adalah rejim cukai paling cekap yang boleh membanteras ekonomi gelap ini.

“Seterusnya, barulah kerajaan dapat kurangkan cukai korporat kerana sudah dapat mengutip hasil yang banyak dari ekonomi gelap tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, beliau juga mengharapkan Belanjawan 2025 memberi perhatian khusus kepada keperluan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), memandangkan industri ini merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, terutama dalam kalangan usahawan Melayu. 

Katanya, DPMM mungkin berharap kerajaan meningkatkan akses kepada pembiayaan dengan menawarkan lebih banyak pinjaman mudah dan geran bagi membantu PMKS pulih dari kesan ekonomi global. 

“Ini termasuk skim pinjaman dengan kadar faedah rendah atau sifar bagi PMKS.

“Selain itu, kerajaan boleh memberi fokus pada bantuan dalam bentuk subsidi dan insentif cukai bagi mengurangkan kos operasi, khususnya untuk syarikat-syarikat kecil yang masih bertahan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Kami juga megharapkan pembangunan kapasiti dan latihan teknikal dan pengurusan serta bimbingan bagi usahawan, khususnya dalam transformasi digital dan peningkatan kemahiran,” ujarnya.

Norsyahrin berkata, kerajaan juga perlu memberi tumpuan dalam membuka lebih banyak akses kepada pasaran tempatan dan antarabangsa bagi produk dan perkhidmatan PMKS, terutamanya melalui program pembelian kerajaan, insentif eksport dan jaringan e-dagang.

“Sokongan untuk PMKS beralih ke arah pendigitalan juga dijangka menjadi fokus penting. Ini termasuk insentif untuk pelaburan dalam teknologi digital serta infrastruktur untuk mempercepatkan penggunaan e-dagang, platform digital dan automasi.

“Kami juga berharap supaya lebih banyak penyertaan usahawan bumiputera dalam sektor strategik seperti teknologi, pertanian moden, tenaga hijau dan perkilangan berteknologi tinggi dengan menyediakan sokongan kewangan serta insentif.

“Secara keseluruhannya, DPMM mengharapkan supaya Belanjawan 2025 lebih berfokus kepada pemulihan ekonomi PMKS, memperkasakan usahawan bumiputera dan mempercepatkan transformasi digital bagi membolehkan PMKS lebih kompetitif dalam pasaran global,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN