KDNK Malaysia mampu melepas 4.7% tahun ini - AMRO - Utusan Malaysia

KDNK Malaysia mampu melepas 4.7% tahun ini – AMRO

AMRO menjangkakan ekonomi negara tumbuh melepasi unjuran awal 4.7 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia mampu melepasi sasarannya sebanyak 4.7 peratus bagi 2024.

Ketua Ekonominya, Khor Hoe Ee berkata, AMRO mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang agak tinggi pada 4.7 peratus untuk 2024 dan menaikkan kepada 4.9 peratus untuk 2025.

Katanya, Malaysia menunjukkan prestasi yang agak baik dari segi pertumbuhan dan menarik banyak pelaburan serta inflasi masih agak rendah.

“Jelas ada potensi untuk Malaysia melakukan lebih baik daripada itu dan itu mungkin kerana jika pelaksanaan pelaburan lebih kukuh daripada apa yang kita ambil kira.

“Saya fikir kadar pertumbuhan akan lebih tinggi daripada apa yang kami jangka pada 4.7 peratus,” katanya pada taklimat media Kemas Kini Suku Tahunan AMRO mengenai Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 dalam talian di sini, semalam.

Mengulas mengenai prestasi ringgit pula, Hoe Ee berkata, mata wang tempatan itu dijangka akan terus mengukuh didorong oleh jumlah dagangan aliran masuk kewangan serta dipengaruhi oleh perbadanan pelaburan Malaysia yang menghantar pulang pendapatan pelaburan mereka.

“Seiring dengan itu, terdapat juga pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

“Ringgit Malaysia merupakan satu daripada mata wang berprestasi paling teruk tahun lepas dan sehingga baru-baru ini dan kini merupakan satu daripada mata wang berprestasi terbaik. Ia beralih daripada paras 4.7 (berbanding dolar AS) kepada 4.16.

“Jadi, saya rasa pada kadar pertukaran ringgit cukup kukuh, walaupun beberapa hari lepas ia menurun sedikit kerana petunjuk daripada Fed As bahawa tidak akan mengurangkan kadar lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, AMRO meramalkan rantau ASEAN+3 berkembang pada 4.2 peratus pada 2024 dan bertambah baik kepada 4.4 peratus pada 2025, dalam kemas kini suku tahunan terbaharunya bagi Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO).

Menurutnya, pemulihan berterusan dalam perdagangan luar dan pelancongan, di samping permintaan domestik yang berdaya tahan akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

“Ramalan 2024 terkini untuk rantau ASEAN+3 mewakili semakan menurun sedikit daripada ramalan Kemas Kini AREO Julai 2024 sebanyak 4.4 peratus, terutamanya disebabkan pelarasan untuk China dan Vietnam.

“Ekonomi Plus-3 (China; Hong Kong, China; Jepun; dan Korea) diunjurkan berkembang pada 4.1 peratus, manakala ASEAN dijangka berkembang sebanyak 4.7 peratus pada 2024.

“AMRO menjangkakan pertumbuhan rantau ASEAN+3 akan mengukuh kepada 4.4 peratus pada 2025, sejajar dengan jangkaan permintaan luar yang stabil dan permintaan domestik yang berdaya tahan dalam keadaan kewangan yang lebih mudah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN