Kapasiti tenaga boleh diperbaharui capai 28% - Fadillah

Kapasiti tenaga boleh diperbaharui capai 28% – Fadillah

FADILLAH Yusof pada Pameran dan Sidang Kemuncak Peralihan Tenaga Bersih Asia (CETA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kapasiti tenaga boleh diperbaharui (TBB) Malaysia kini mencapai 28 peratus dengan kemajuan teknologi dijangka memainkan peranan penting dalam pencapaian ini, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sokongan dan kerjasama sektor swasta diperlukan melalui inovasi bersama, ciptaan hijau dan perkongsian pengetahuan untuk mencapai sasaran peningkatan bahagian TBB

“Kami menyasarkan untuk meningkatkan bahagian TBB dalam campuran elektrik negara kepada 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.

“Walaupun sasaran ini mencabar, ia mampu dicapai melalui inovasi dan komitmen,” katanya pada Pameran dan Sidang Kemuncak Peralihan Tenaga Bersih Asia (CETA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Fadillah turut menyatakan bahawa tiada lagi loji kuasa arang batu baharu akan dibangunkan dengan kerajaan beralih daripada penggunaan arang batu secara berperingkat.

“Agensi Tenaga Antarabangsa telah menekankan kepentingan pengurangan pergantungan kepada arang batu untuk menghadkan pemanasan global dan kami bertindak berdasarkan perkara tersebut. 

“Kerajaan juga akan meningkatkan fleksibiliti grid dengan melabur dalam grid pintar, pendigitalan dan sistem penyimpanan tenaga dengan sasaran peningkatan fleksibiliti grid sebanyak 20 peratus menjelang 2035 bagi membolehkan integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui yang lebih besar,” ujarnya. 

Beliau berkata, kerajaan turut menyasarkan untuk merangsang inovasi, menarik pelaburan, dan menyesuaikan infrastruktur tenaga dengan keperluan landskap global yang berubah pantas serta memfokuskan pada komitmen terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Oleh itu, kami memperkenalkan Skim Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) bagi menggalakkan pengguna korporat untuk melabur dan mendapatkan TBB secara langsung daripada pengeluar solar melalui akses grid pihak ketiga.

“Pelaksanaan CRESS dan garis panduan yang bakal dikeluarkan mencerminkan komitmen kami terhadap liberalisasi grid dan usaha untuk mewujudkan pasaran tenaga yang lebih kompetitif, cekap, dan berdaya tahan di Malaysia,” tambahnya.

Tambahnya, Malaysia juga sedang bersiap sedia untuk mengambil alih Pengerusi ASEAN pada 2025, memberi peluang untuk memimpin rantau ini dalam memajukan perdagangan TBB rentas sempadan.

“Kami akan menunjukkan komitmen terhadap kelestarian dan memacu kemajuan di seluruh ASEAN dengan memanfaatkan industri utama seperti semikonduktor, kenderaan elektrik, dan pendigitalan. 

“Seiring dengan peningkatan permintaan global terhadap elektrik hijau, Malaysia bersedia merebut peluang ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN