Kapasiti pusat data negara dijangka meningkat 383 peratus - Utusan Malaysia

Kapasiti pusat data negara dijangka meningkat 383 peratus

MALAYSIA menjadi pilihan syarikat teknologi gergasi untuk pelaburan pusat data sejak kebelakangan ini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kapasiti pusat data (DC) di Malaysia dijangka berkembang sebanyak 383 peratus berdasarkan projek yang sedang dilaksanakan, menurut laporan CBRE Data Centre Solutions.

Penganalisis CIMB Securities, Foong Choong Chen berkata, CBRE menjangkakan pasaran awan global dan kecerdasan buatan (AI) akan berkembang daripada AS$1 trilion tahun ini kepada AS$2 trilion menjelang 2030, seterusnya mendorong pertumbuhan pesat permintaan DC.

Ujarnya, pasaran DC Tier-2 di Asia Pasifik menyaksikan pertumbuhan eksponen kerana ketersediaan tanah dan tenaga yang berpatutan.

“CBRE melihat Malaysia sebagai satu pasaran yang paling pesat berkembang, dengan bekalan semasa sebanyak 235 megawatt (MW) dan dijangka berkembang sebanyak 383 peratus berdasarkan 900MW dalam perancangan (sehingga April 2024).

“Kapasiti akan datang ini bukan sahaja memenuhi pasaran domestik tetapi juga penyewa antarabangsa yang telah menjadikan Malaysia sebagai hab Asia Pasifik mereka,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau berkata, pembangunan pesat DC di Malaysia disokong oleh pendirian proaktif kerajaan dalam menggalakkan pelaburan sejak 2021, infrastruktur telekomunikasi yang maju dan kos pembinaan DC yang lebih rendah.

“Perbandingan kos adalah besar dengan Johor sekitar AS$8.5 juta, Kuala Lumpur pada AS$10.0 juta berbanding Tokyo (AS$10.5 juta) dan Singapura (AS$11.4 juta).

“Malaysia juga pelopor dalam mengenal pasti AI sebagai pemacu pertumbuhan, dengan merujuk kepada kerjasama antara YTL Power International dan NVIDIA pada Disember 2023 untuk melabur AS$4.3 bilion (RM18 bilion) dalam membina infrastruktur AI di Malaysia,” katanya.

Pada 25 September lalu, beliau berkata, pihaknya telah menganjurkan lawatan tapak untuk 55 pelabur tempatan dan asing ke Pusat Data Iskandar Puteri Telekom Malaysia (IPDC), Pusat Data AirTrunk JHB1 (JHB1) dan Pusat Kawalan Operasi Bersepadu Johor Bahru (JBIOCC).

“Sebagai salah satu DC terawal di Taman Teknologi Nusajaya, IPDC adalah sebuah kemudahan kolokasi yang agak kecil (Blok 1: 5MW) yang berkhidmat untuk pelbagai jenis penyewa.

“TM menekankan bahawa salah satu kekuatan utama IPDC adalah sambungannya yang kukuh dengan laluan gentian yang pelbagai, satu ciri reka bentuk yang juga akan diulang di DC Nxera baharu.

“Mengenai IPDC Blok 2 (10MW), yang dijadualkan siap pada suku ketiga 2025, TM menyatakan bahawa ia telah memperoleh komitmen penyewa yang tinggi.

“Secara keseluruhannya, TM percaya bahawa permintaan yang kukuh akan memenuhi kapasiti DC yang besar di Malaysia dari masa ke masa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN