Jaguh angkat berat kini miliki jenama sukan sendiri

Jaguh angkat berat kini miliki jenama sukan sendiri

MOHD Faiz Musa bersama peralatan angkat berat yang dibekalkannya menerusi jenama FM Sport.– UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Mohd. Faiz Musa sememangnya sinonim dalam arena persada angkat berat negara susulan kejayaan yang dikecapinya menerusi beberapa kejohanan terkemuka sebelum ini.

Anak kelahiran Bintong, Perlis berusia 35 tahun ini pernah mengharumkan nama negara dalam sukan angkat berat menerusi beberapa temasya dunia antaranya Sukan Sea Laos 2009 (perak), Sukan Belia Komanwel di Cyprus 2008 (emas), dan Sukan SEA Myanmar 2013 (gangsa).

Selepas bersara sebagai atlet profesional, Mohd. Faiz kemudiannya bergiat aktif dalam bidang kejurulatihan malah turut melahirkan ramai pelapis sukan angkat berat di negara ini.

Namun, bapa kepada dua anak itu masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya malah dia kini turut mula menceburi bidang keusahawanan bagi memasarkan peralatan sukan angkat berat.

Mohd. Faiz berkata, dia mula menubuhkan jenamanya sendiri secara serius yang dikenali sebagai FM Sport bermula sejak 2017 selepas melihat potensi dalam bidang berkenaan. 

“Saya telah bergiat aktif dalam angkat berat ini sejak  2000 dan dalam tempoh itu, saya lihat wujudnya peluang untuk memasarkan barangan dan peralatan sukan ini di bawah jenama sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut, Mohd. Faiz berkata, antara barangan yang dipasarkannya buat masa ini adalah platform latihan angkat berat, squat rack, jerk blocks, pull box, magnesium stand, sistem angkat berat dan pelbagai lagi. 

Katanya, barangan yang dipasarkannya itu juga adalah mampu milik dan berkualiti dalam memberikan kepuasan kepada para pelanggannya.

“Selain itu, saya juga membekalkan pakaian sukan angkat berat, kasut, tali pinggang dan pelbagai kelengkapan lain untuk atlet,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Faiz berkata, sebelum ini, pihaknya juga turut membekalkan peralatan sukan angkat berat untuk kegunaan pada penganjuran kejohanan tempatan antaranya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak pada Ogos lepas.

Katanya, dia turut menerima permintaan daripada beberapa persatuan angkat berat negeri bagi membekalkan peralatan tersebut untuk kegunaan para atlet.

“Alhamdulillah walaupun boleh dikatakan masih baharu dalam bidang ini, namun permintaan terhadap pasaran peralatan angkat berat ini adalah menggalakkan,” katanya.

Dalam pada itu, anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, walaupun tidak mempunyai pengalaman mendalam dalam bidang keusahawanan, namun dia sentiasa mendapat bimbingan daripada kenalan dan agensi-agensi berkaitan.

Ujarnya, dia cuba menjadikan minatnya dalam sukan angkat berat sebagai sumber pendapatan tambahan menerusi bidang keusahawanan ini.

“Walaupun saya masih aktif dalam arena kejurulatihan, namun saya menjadikan minat sebagai salah satu sumber pendapatan tambahan dengan memasarkan peralatan dan barangan ini,” katanya. 

Sementara itu, ketika ditanya sasaran terhadap jenama FM Sport untuk tempoh lima tahun akan datang, Mohd. Faiz berkata, pihaknya berhasrat untuk melebarkan perusahaan itu ke pasaran antarabangsa. 

Ujarnya, ahli keluarganya juga sentiasa menyokong minatnya itu dan tidak pernah membantah perancangan yang ingin dilakukannya.

“Saya mempunyai visi untuk melebarkan perusahaan ini ke luar negara antaranya seperti Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand. 

“Alhamdulillah, ahli keluarga sentiasa memberi semangat kepada saya,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN