MUKADIMAH
Industri pembinaan sedang menyaksikan revolusi besar dengan kehadiran inovasi dan teknologi pintar yang mampu mengubah landskap sektor ini secara menyeluruh. Dari penggunaan dron untuk pemetaan hingga aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan projek, teknologi moden ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan tetapi juga memastikan keselamatan dan kelestarian dalam setiap peringkat pembinaan.
Baru-baru ini, Wartawan Utusan Malaysia, Hendra Winarno berpeluang menemubual Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Sr. Mohd. Zaid Zakaria mengenai topik ini.
UTUSAN: Bagaimana pembinaan digital dan teknologi pintar ini dapat mengubah industri pembinaan di Malaysia?
MOHD ZAID: Industri pembinaan telah mengalami transformasi besar dengan penggantian amalan tradisional kepada pembinaan digital, inovasi dan teknologi pintar. Gabungan peralatan digital dan inovasi ini telah menggantikan amalan tradisional yang menjadi asas kepada pelaksanaan dan pengendalian projek pembinaan. Pembinaan digital dan teknologi pintar kini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kerjasama dalam setiap aspek operasi yang dijalankan.
Penggunaan automasi dan AI telah meningkatkan ketepatan dan kualiti dalam industri pembinaan di Malaysia. Automasi membolehkan pelaksanaan tugas-tugas rutin dengan lebih pantas dan tepat, mengurangkan kesilapan manusia dan mempercepatkan proses pembinaan. Sementara itu, AI membantu dalam analisis data yang kompleks, ramalan hasil projek, dan mengoptimumkan sumber yang digunakan.
Selain itu, pengenalan kepada teknologi hijau dan reka bentuk yang lebih efisien dapat mencapai industri pembinaan yang lebih lestari. Teknologi hijau membawa peranan penting dalam mengurangkan jejak karbon dan mempromosikan amalan pembinaan yang lestari. Bahan binaan mesra alam, sistem tenaga lestari dan pengurusan sisa yang berkesan membantu mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Reka bentuk yang lebih efisien pula memastikan penggunaan sumber yang minimum tanpa menjejaskan kualiti dan fungsi bangunan serta mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG).
Apakah cabaran terbesar dalam penyesuaian teknologi baharu ini dalam industri pembinaan?
Cabaran terbesar dalam menyesuaikan teknologi dalam industri pembinaan termasuk kos permulaan yang tinggi yang memerlukan pelaburan besar dalam perisian, peralatan dan latihan kakitangan menjadi halangan bagi syarikat kecil dan sederhana. Kekurangan kemahiran dan pengetahuan dalam tenaga kerja memerlukan pelaburan dalam latihan dan pembangunan kemahiran.
Selain itu, budaya dan mentaliti juga memainkan peranan dalam menerima teknologi baharu, di mana pekerja yang sudah lama dalam industri mungkin menolak idea untuk beralih daripada kaedah tradisional kepada teknologi digital.
Isu keselamatan data dan privasi semakin kritikal dengan peningkatan penggunaan teknologi digital. Syarikat perlu memastikan data dilindungi daripada ancaman siber dan keserasian dengan sistem sedia ada yang mungkin masih menggunakan teknologi lama memerlukan integrasi data yang rumit. Infrastruktur sokongan seperti internet berkelajuan tinggi mungkin tidak tersedia di semua lokasi pembinaan, terutama di kawasan luar bandar.
Apakah teknologi pintar dan inovasi yang bakal dipamerkan di Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) pada 22 hingga 24 Oktober ini?
Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) akan berlangsung pada 22 hingga 24 Oktober ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
ICW dan BuildXpo merupakan platform untuk pemain industri pembinaan di Malaysia dan serantau mempamerkan, mempelajari dan menerokai peralatan terkini serta teknologi dan pembangunan berkaitan dengan industri pembinaan. ICW dan BuildXpo juga adalah satu acara untuk meraikan dan mempromosi keupayaan industri pembinaan serta menyediakan platform bagi penggiat industri untuk berhubung dan berkongsi pengalaman.
Bertemakan ‘Envisioning the Future of Construction’, acara ini bakal menampilkan pelbagai teknologi pintar dan inovasi penting bagi memperlihatkan perkembangan terkini dalam industri pembinaan.
BuildXpo juga akan memanfaatkan teknologi AI untuk memudahkan sesi padanan perniagaan atau Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) anjuran dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade). Sesi INSP BuildXpo ini juga dapat disertai secara fizikal, mahupun maya menerusi aplikasi BuildXpo di telefon pintar.
Apakah faktor utama yang menyumbang kepada sasaran nilai dagangan lebih RM1 bilion untuk ICW dan BuildXpo 2024?
Pada tahun lalu, BuildXpo sebagai salah satu komponen ICW telah meraih hampir RM500 juta potensi jualan secara kolektif, dengan RM376.5 juta dicatat menerusi lawatan perdagangan dan RM117.8 juta melalui sesi padanan perniagaan iaitu INSP, dengan penyertaan daripada 19 syarikat antarabangsa dari tujuh negara.
Untuk tahun ini, kami menetapkan sasaran yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM1 bilion menerusi penglibatan pasaran antarabangsa seperti China, Sepanyol, Indonesia, Singapura, Australia, Bangladesh, Vietnam, Japan, Cambodia dan juga Malaysia. Sasaran ini memberikan peluang yang lebih besar kepada perniagaan pembinaan untuk mempamerkan keupayaan mereka di arena antarabangsa, berdasarkan keadaan semasa industri pembinaan negara dan keyakinan terhadap industri ini.
Kita menjangkakan penganjuran ICW dan BuildXpo pada tahun ini bakal menerima 15,000 pengunjung daripada 200 syarikat antarabangsa dan tempatan yang terlibat dalam teknologi pembinaan, mesin, sistem perkhidmatan pembinaan serta bahan dan peralatan pembinaan. Pertumbuhan sebanyak 35 peratus dalam jumlah pempamer, peserta persidangan dan pelawat pameran berbanding tahun lalu mencerminkan keyakinan industri pembinaan terhadap acara ini sebagai destinasi penting untuk berhubung, berkongsi pengetahuan dan menjalinkan perniagaan.
Apakah prospek yang dijangka bagi industri pembinaan dalam tahun ini dan tahun yang akan datang dan faktor dorongan pertumbuhan industri pembinaan?
Sektor pembinaan dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh pada 2024, dirangsang terutamanya oleh peningkatan berterusan dalam aktiviti pembinaan. Berdasarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) pada Mei 2024, nilai kerja dalam sektor pembinaan melonjak sebanyak 14.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y), berjumlah RM36.8 bilion pada suku pertama 2024 (S1 2024).
Perkembangan ini dipacu oleh pelbagai subsektor termasuk kejuteraan awam, bangunan bukan kediaman, pertukangan khas dan bangunan serta lain-lain yang membantu peningkatan prestasi industri pembinaan ini.
Selain itu, dorongan terhadap terhadap pembinaan digital dan teknologi pintar yang meningkatkan produktiviti dan keberkesanan dijangka akan terus mengubah landskap industri pembinaan. Penggunaan teknologi seperti dron dan robotik memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti dan kecekapan projek pembinaan.
Permintaan yang meningkat bagi infrastruktur moden dan perumahan turut menjadi pendorong pertumbuhan dalam sektor ini, dengan keperluan pembangunan yang seiring dengan kemajuan ekonomi dan keperluan sosial.-UTUSAN










