PETALING JAYA: Industri teknologi perubatan (medtech) Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan, sekali gus mengesahkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam landskap medtech global, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI).
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, memandang ke hadapan, jelas bahawa golongan profesional bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal mereka, tetapi juga didorong oleh komitmen terhadap kualiti dan pematuhan piawaian global.
“Gabungan kuat bakat dan sokongan kerajaan ini, seperti yang dilihat dalam inisiatif seperti keutamaan sektor peranti perubatan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 telah melonjakkan Malaysia ke barisan hadapan dalam inovasi medtech.
“MIDA berdedikasi untuk menyokong pengembangan berterusan sektor ini melalui perkongsian strategik dan langkah proaktif serta kami teruja untuk melihat masa depan untuk industri dinamik ini,” katanya dalam kenyataan bersama MIDA dan AMMI di sini, semalam.
Kenyataan tersebut susulan pelancaran Laporan Status Industri Peranti Perubatan dan Tinjauan 2024/2025 AMMI: Malaysia, Kisah Kejayaan Medtech di Sidang Kemuncak Industri Medtech Malaysia 2024 di Pulau Pinang.
Laporan ini menggariskan kedudukan Malaysia sebagai hab medtech terkemuka di Asia Tenggara dengan penumpuan tertinggi syarikat medtech multinasional di rantau ini.
Pengerusi AMMI, Andy Lee berkata, Malaysia mempunyai pasaran peranti perubatan terbesar di Asia Tenggara dengan saiz pasarannya mencecah RM10.6 bilion pada 2023 dan disenaraikan antara sepuluh pasaran teratas di Asia.
Katanya, ekosistem peranti perubatan Malaysia yang bertenaga telah memainkan peranan penting dalam menarik banyak pelaburan ke negara ini.
“Ia jauh melangkaui pembuatan tradisional, menawarkan keupayaan teguh dalam pensterilan, ujian biokeserasian, pembungkusan dan penilaian pematuhan.
“Malaysia menjadi tuan rumah kapasiti pensterilan terbesar di Asia Tenggara, menyediakan rangkaian teknologi pensterilan yang paling komprehensif di rantau ini.
“Ini termasuk pensterilan Etilena Oksida (EtO), Gamma, dan rasuk Elektron (E-beam). Tambahan pula, Malaysia berdiri sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang mewujudkan kemudahan pensterilan Xray,” ujarnya.
Tambahnya, didorong oleh infrastrukturnya yang canggih, pematuhan kepada piawaian antarabangsa dan sokongan kerajaan yang kukuh, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk kekal berdaya saing di peringkat global.
Menunjukkan keyakinan mereka terhadap daya maju Malaysia sebagai hab MedTech, ahli AMMI telah meningkatkan pelaburan mereka secara berterusan.
Responden tinjauan AMMI merancang untuk melabur jumlah kolektif RM2.7 bilion dalam pengembangan, RM927 juta dalam produk baharu dan RM162 juta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)/pusat kecemerlangan (COE) baharu dan Industri 4.0.
Laporan itu juga mengetengahkan sumbangan besar AMMI kepada ekonomi tempatan. Secara kolektif, mereka memperoleh RM4.1 bilion bahan mentah dan RM2.5 bilion perkhidmatan daripada pembekal tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). – UTUSAN










