ECERDC terajui Mersing jadi hab pengeluaran makanan

ECERDC terajui Mersing jadi hab pengeluaran makanan

ONN Hafiz Ghazi (depa, tengah) bersama Ahli Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER semasa Mesyuarat ICC Johor di Pejabat ECERDC, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus menerajui pembangunan Mersing dan Segamat menjadi hab utama pengeluaran makanan, sekali gus memperkasakan Johor sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan pertanian dan keterjaminan makanan Malaysia. 

ECERDC turut komited dalam memacu potensi daerah Mersing dan Segamat melalui projek strategik dan pelaburan dalam sektor pertanian perikanan dan pengeluaran tenusu yang akan memperkukuhkan lagi peranan negeri itu dalam menyokong rantaian bekalan makanan negara.

Perkara itu dibentangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Johor, ECERDC dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai Pelan Pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tahun 2026 hingga 2030.

Ini sekali gus meletakkan Mersing dan Segamat sebagai penyumbang penting kepada inisiatif Bakul Makanan (Food Basket) Malaysia. 

Menurut Onn Hafiz, projek seperti Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) dan Taman Pemprosesan Ikan Endau Mersing (EMFPP), Mersing dijangka menjadi hab utama industri tenusu dan perikanan, manakala Segamat memberi tumpuan kepada pertanian mampan dan industri hijau. 

“Inisiatif-inisiatif ini akan meningkatkan sumbangan Johor kepada bekalan makanan negara dan menjana peluang pekerjaan di dua daerah ini. 

“Melalui kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan ECERDC, kami memanfaatkan kelebihan semula jadi Mersing dan Segamat untuk menjadikan Johor sebagai hab pengeluaran makanan, seterusnya menyumbang secara langsung kepada keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Onn Hafiz berkata, inisiatif-inisiatif ini akan mencipta peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan sektor pertanian, sekali gus mengukuhkan peranan Johor sebagai pemain utama dalam pembangunan negara.

Setakat September tahun ini, ECERDC berjaya menarik pelaburan signifikan untuk EMFPP, dengan tumpuan kepada pemprosesan ikan sejuk beku, penyimpanan sejuk dan pengeluaran ais kiub. 

Projek-projek ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuhkan aktiviti hiliran oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seiring dengan agenda keterjaminan makanan negeri Johor. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, ECERDC turut menerajui pembangunan JDV di Mersing, sebuah projek perniagaan tani utama bakal siap menjelang September 2025. 

“Inisiatif ini, sebahagian daripada agrofood@ECER, dijangka menarik RM80 juta dalam pelaburan swasta dalam tempoh lima tahun, dengan rancangan untuk menempatkan 3,200 lembu tenusu dan menghasilkan 7.1 juta liter susu setiap tahun. 

“Projek ini akan meningkatkan sektor tenusu Johor, menyumbang kepada keterjaminan makanan negara dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk susu segar di pasaran tempatan,” katanya.  

Selain itu, Segamat memainkan peranan penting dalam transformasi pertanian ECERDC melalui inisiatif Fertigasi Cili IPR-INTAN, yang kini meliputi 31.97 hektar di tiga lokasi, dengan rancangan untuk diperluaskan lagi. 

Katanya, inisiatif ini menyediakan pendapatan yang mampan untuk komuniti B40 dan mempromosikan teknologi pertanian moden. 

“Kerjasama ECERDC dengan operator induk dan pihak berkuasa tempatan di bawah model Ladang Kontrak Berkelompok telah meningkatkan produktiviti, dengan 16,800 pokok cili berjaya dituai Ogos lalu.

“Ia turut membuka peluang pekerjaan untuk golongan B40, di mana peserta boleh terus bekerja dengan operator induk atau menjadi usahawan tani,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN