BERMULA dengan minat yang mendalam dalam dunia pembuatan kek dan manisan, siapa sangka hobi boleh berkembang menjadi kerjaya tetap dan mampu menjana keuntungan lumayan hingga mencecah ribuan ringgit.
Pengasas Calla Lily & Co. Baking Studio, Emylya Othman, 49, berkata, dia memulakan perniagaan ini dengan menjual secara kecil-kecilan sekitar 2010 dengan hasil permintaan daripada rakan dan jiran terdekat.
“Ketika saya mula menceburi perniagaan ini, memang agak mencabar kerana pada awalnya saya hanya menjual untuk mengisi masa lapang. Kemahiran saya pada ketika itu juga belum cukup mantap jika dibandingkan dengan pembuat kek lain yang sudah berpengalaman.
“Kebanyakan rakan-rakan saya dan suami banyak memberi sokongan dengan memesan kek. Ada di antara mereka masih setia menjadi pelanggan sehingga hari ini.
“Selain menghasilkan kek, saya juga mengambil pesanan membuat pastri seperti skon yang mendapat permintaan tertinggi sepanjang perniagaan dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berbeza dengan pendekatan yang digunakan pembuat kek lain, ibu kepada empat orang anak ini menghasilkan kek secara eksklusif dan segar berdasarkan permintaan pelanggan.
“Setiap kek yang dihasilkan diberi sentuhan peribadi, memastikan ia memenuhi cita rasa dan keperluan setiap pelanggan.
“Dengan fokus kepada kualiti dan kesegaran, saya hanya menggunakan bahan-bahan premium, menjadikan setiap keknya unik dan istimewa.
“Pendekatan ini bukan sahaja menjamin kualiti yang tinggi, tetapi juga membolehkan saya menyesuaikan setiap kek mengikut kehendak pelanggan, menjadikannya lebih peribadi dan bermakna,” jelasnya.
Emylya berkata, bagi memastikan dapat menghasilkan manisan terbaik untuk pelanggan, dia melaburkan sejumlah wang untuk menghadiri kelas pembuatan kek dan pastri demi meningkatkan kemahiran dan mutu manisannya.
“Untuk meningkatkan kemahiran yang ada, saya banyak pergi kelas membuat pelbagai jenis dan resepi kek serta manisan untuk mempelajari teknik yang tepat.
“Banyak kelas yang saya sudah pergi seperti kelas membuat fondant, croissant dan banyak lagi.
“Keuntungan yang diperoleh akan saya laburkan untuk pergi ke bengkel yang lebih teknikal atau membeli bahan-bahan premium untuk meningkatkan kualiti dan rasa,” ujarnya.
Menurut Emylya, pada musim perayaan, permintaan terhadap manisan yang dihasilkan mendapat sambutan yang sangat baik.
“Permintaan paling tinggi terhadap kek dan beberapa produk kuih raya yang saya buat adalah sekitar musim perayaan.
“Walaupun musim perayaan sudah tamat, ada beberapa kek dan kuih yang saya hasilkan masih mendapat permintaan yang sangat tinggi.
“Untuk kek, antara yang menjadi kegemaran pelanggan ialah Butterscotch dan Victoria Sandwich,” kongsinya lagi.
Tambahnya, selain membuat manisan-manisan itu, dia turut mengadakan bengkel pembuatan kek dan pastri kepada sesiapa yang berminat.
“Saya juga ingin berkongsi ilmu yang ada dengan orang ramai yang berminat. Oleh sebab itu, saya juga membuat bengkel khas kepada sesiapa yang berminat untuk mula berkecimpung dalam dunia manisan,” ujarnya.-UTUSAN










