PETALING JAYA: Produk manisan, Dairis Kitchen Enterprise mengalami peningkatan 50 peratus dan bakal menembusi pasaran United Kingdom (UK) anjuran Halal Street UK tidak lama lagi terutamanya selepas memperoleh pensijilan halal.
Usahawan, Norsyazila Muhamad Pauzi, 38, berkata, penjualan makanan seperti biskut, manisan, kek dan sandwic yang dihasilkan di rumahnya, Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan mula meningkat selepas memperoleh sijil halal pada 12 Februari tahun ini.
“Saya telah menerima geran daripada pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam Program Ujian Pasaran (Pupuk) untuk memasarkan produk di luar negara (UK).
“Apabila menerima sijil halal, pelanggan lebih ramai dan memberikan jaminan kepada pelanggan beragama Islam bahawa produk tersebut mematuhi prinsip syariah, meningkatkan kepercayaan dan kesetiaan terhadap jenama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Norsyakila sudah menjalankan perniagaan selama 10 tahun ini itu mempunyai seorang kakitangan ketika ini.
Bekas Graduan Diploma Bioteknologi Universiti Selangor (Unisel) itu menjual menyediakan hidangan meja pencuci mulut yang eksklusif untuk majlis seperti perkahwinan, sambutan hari jadi dan acara korporat pada harga bermula RM150.
“Selain itu, saya menawarkan set pencuci mulut dengan harga bermula RM5 hingga RM200, sesuai untuk jamuan pejabat, tadika atau untuk makan sendiri.
“Setiap bulan, saya berjaya menjual hampir 50 hingga 100 set dan setiap tempahan dijamin memenuhi citarasa dan keperluan pelanggan,” katanya.
Norsyakila turut menasihatkan mana-mana usahawan agar memohon sijil halal kerana ia adalah satu aset penting untuk mencapai akses pasaran yang lebih luas dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk perniagaan.
“Selain itu, apabila memperoleh sijil halal menunjukkan bahawa syarikat komited terhadap kualiti, kebersihan dan keselamatan produk, yang juga boleh menarik minat pengguna bukan Islam yang mencari produk yang berkualiti tinggi,” katanya.-UTUSAN










