PETALING JAYA: Bank Rakyat menyalurkan sumbangan berjumlah RM350,000 kepada 70 buah masjid dan surau di seluruh negara.
Setiap masjid dan surau yang terpilih masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM5,000.
Sumbangan itu disampaikan semasa Program Bacaan Yasin dan Solat Hajat yang dianjurkan secara serentak di 70 lokasi di seluruh negara sempena sambutan ulang tahun Bank Rakyat ke-70 pada 28 September lalu.
Program tersebut yang dihadiri oleh wakil Bank Rakyat, ahli jawatankuasa masjid dan surau serta komuniti setempat, merupakan sebahagian daripada inisiatif kemasyarakatan bank bagi memperkukuh hubungan dengan masyarakat yang menjadi tonggak kejayaan institusi kewangan berkenaan selama tujuh dekad.
Bank itu dalam kenyataan berkata, selain dianjurkan bagi mensyukuri pencapaian dan pertumbuhan mampan Bank Rakyat yang kini merupakan bank koperasi Islam terbesar di Malaysia, program ini juga mencerminkan jalinan silaturahim yang kukuh antara Bank Rakyat dengan pelanggan dan masyarakat.
“Hubungan erat inilah yang menjadi aspirasi untuk Bank Rakyat terus berkhidmat dan memberi impak positif kepada seluruh masyarakat, bukan sahaja daripada aspek perkhidmatan perbankan, malah juga dari sudut pembangunan sosial melalui aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, sejajar dengan aspirasi Bank Rakyat serta nilai yang ditekankan dalam konsep Malaysia Madani, bantuan yang disalurkan ini diharap dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat serta memperkukuh hubungan silaturahim yang telah lama terjalin antara bank dengan masyarakat.
Melangkah ke hadapan, Bank Rakyat akan meneruskan usaha inovasinya agar kekal relevan dalam perkembangan pantas industri perbankan Islam dengan menyediakan penyelesaian perbankan yang holistik dan patuh pada prinsip Syariah. – UTUSAN










