KOMITMEN terhadap syarikat perunding arkitek pembinaan sendiri tidak menjadi penghalang dua rakan membuka sebuah kedai berkonsepkan klasik, Warung Kopi Peng di Jalan Siow Long Hin atau lebih dikenali Singapore Street di Seremban, Negeri Sembilan bermula Februari 2024.
Syazwan Muhaimin Jaaffar, 30 dan Norafizah Noridan, 37 yang berperanan sebagai pengarah syarikat Warung Kopi Peng turut bertugas dalam syarikat perunding arkitek yang sama iaitu NMOK Resources.
Syazwan Muhaimin berkata, idea tersebut tercetus apabila melihat tumpuan masyarakat ke arah kedai makan atau warung yang lebih menarik untuk menikmati sarapan atau bersantai bersama keluarga atau rakan.
“Bermula dari situ, tercetusnya idea membuka sebuah warung kopi kerana ramai mencari kedai makan atau warung yang lebih estetik yang mula menjadi tarikan ramai.
“Berbekalkan pengalaman 10 tahun lalu semasa saya pernah bekerja di pasar raya, saya gunakan untuk berkecimpung dalam bidang makanan dan minuman.
“Pada masa yang sama, saya turut membantu ibu bapa menjalankan perniagaan, malah saya juga pernah membuka perniagaan menjual burger serta bekerja separuh masa sebagai pembantu katering,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, inspirasi membuka warung kopi datang daripada pengalaman dalam bidang perunding arkitek.
“Kebiasaannya kami mereka bentuk sesuatu untuk pelanggan. Bagaimanapun, kali ini, kami cipta reka bentuk sesuai untuk warung kedai kami di bangunan lama Singapore Street tersebut.
“Kebanyakan bangunan lama ini terdapat di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Jadi ketika kami melihat inspirasi bangunan lama ini timbul idea menyiapkan kedai berkonsepkan estetik dan tradisional serta industri,” katanya.
Sementara itu, Norafizah berkata, keuntungan perniagaan bulanan mencapai hampir RM50,000 dan pihaknya menyasarkan untuk mencapai keuntungan tahunan sebanyak RM300,000.
“Oleh itu, pada tahun ini kami menyasarkan kestabilan Warung Kopi Peng apabila melihat perniagaan semakin baik,” katanya yang kini mempunyai seorang pengurus dan empat orang pekerja.
Norafizah menjelaskan, antara menu yang dijual termasuk, nasi lemak (RM8), roti bakar (RM4), telur separuh masak (RM2), bihun (RM5) serta kuih-muih (RM4.50).
“Selain itu, Warung Kopi Peng juga terdapat minuman seperti kopi ais (RM3), teh (RM2) dan kopi o (RM1.90) serta kopi moden seperti latte panas (RM11), matcha latte (RM16), caramel latte (RM14) dan ais coklat (RM12),” katanya.
Jelas Norafizah, mereka juga mendapat maklum balas yang baik daripada pelanggan.
“Ada pelanggan yang mencadangkan untuk menambah meja makan dan menyediakan laluan khas orang kurang upaya (OKU) dan memperluaskan kawasan perniagaan kerana warung kami berada di lorong kecil.
“Dari segi makanan pula, pelanggan amat berpuas hati kerana menyediakan makanan yang ringan dan sederhana,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada usahawan lain agar rajin bertanya dan perbanyak melihat pengalaman perniagaan orang lain.
“Jika diikutkan setiap perniagaan ini ada risiko, sebagai usahawan kena belajar untuk terima naik turun sesuatu perniagaan tersebut dan jangan lupa jaga hubungan dengan Allah,” katanya.-UTUSAN










