Usahawan bangkit jual produk minuman koko, Kokoniss A+

Usahawan bangkit jual produk minuman koko, Kokoniss A+

JULIANA BAHARIN bersama anaknya, Muhammad Bazil Amin Mohammad Fakhrudin menunjukkan produk minuman koko, Kokoniss A+ di Bangunan Mara, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH mengalami kerugian mencecah RM500,000 termasuk pinjaman susulan perniagaan biskut yang diusahakan sejak 2016 ketika Perintah Kawalan Perniagaan (PKP) pada 2020 memberi inspirasi kepada usahawan Syarikat Jazs Rich Sdn. Bhd., Juliana Baharin, 47 untuk terus bangkit daripada kegagalan. 

Juliana yang bermula dengan perniagaan biskut dan roti jenama, Jazs cookies ketika itu mampu mencapai pendapatan mencecah RM100,000 namun terpaksa mengambil keputusan menutup perniagaan biskut miliknya di sebuah kilang di Senawang, Negeri Sembilan.

“Perniagaan biskut dan roti mendapat sambutan menggalakkan, namun apabila PKP melanda negara saya terpaksa akur dan redha. Saya mengambil masa dalam satu tahun pada 2022 untuk bangkit semula untuk menceburi bidang minuman. 

“Jika diikutkan pada 2019 saya baru sahaja menandatangani persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat usaha sama produk ke Dubai, Pakistan dan Bangladesh ketika itu.

“Setelah pulang daripada Dubai, saya telah membeli beberapa mesin mencecah ratusan ringgit untuk kegunaan pembuatan biskut, namun PKP mengambil masa yang agak lama dan saya memutuskan untuk menutup operasi kerana hanya mampu mencapai jualan kurang RM10,000 sebulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Berkat kesabaran, bermula Mac 2024, Juliana membuka perniagaan jualan minuman, Kokoniss A+ produk minuman yang sihat dan berkhasiat untuk sesuai semua peringkat umur dengan modal permulaan sebanyak RM15,000. 

“Saya telah menjalankan kajian mengenai produk ini dibantu Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebanyak RM40,000 untuk memulakan perniagaan minuman ini. 

“Minuman dengan rasa koko ini mempunyai rasa hampir sama seperti minuman kegemaran rakyat Malaysia yang sedang diboikot ketika ini. Alhamdulillah, selepas tiga bulan mempromosikan minuman ini telah diterima dan menerima sambutan yang positif dalam kalangan pengguna,” katanya. 

Produk minuman itu kini telah terjual hampir 4,000 kotak dengan anggaran jualan RM10,000 dalam tempoh tiga bulan.

Kokoniss A+ yang mempunyai kebaikan prebiotik, habbatus sauda, madu, delima, zaitun dan kurma dijual dengan harga RM22.90 untuk 700 gram sekotak. 

Lebih meyakinkan, produk minuman koko tersebut mempunyai pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan terdapat campuran makanan sunnah itu sesuai untuk tujuan pencernaan serta  tidak mempunyai kandungan gula putih. 

Jelas Juliana, beliau turut menyasarkan untuk mencecah jualan sebanyak 20,000 kotak menjelang Disember tahun ini dan berhasrat mengeluarkan perisa strawberi dan kapucino tidak lama lagi. 

“Sasaran saya adalah jualan mencecah sebanyak RM400,000 selepas melihat beberapa pelanggan yang mula berulang menempah Kokoniss A+. 

“Saya percaya produk ini mula menerima sambutan baik selepas minuman yang diboikot seakan-akan sama seperti produk keluaran kami,” katanya. 

Juliana turut menasihatkan usahawan lain agar bangkit dari kegagalan walaupun mengalami kerugian yang teruk.

“Sebagai usahawan, sikap dan semangat yang ditonjolkan adalah puncak untuk kita semua mengejar kejayaan demi mencapai matlamat dan hala tuju.

“Kejatuhan bukan bermakna gagal untuk bangkit tetapi, ia pemangkin untuk lonjakan yang lebih jauh lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN