PETALING JAYA: Pasaran hartanah negara merekodkan pertumbuhan tertinggi bilangan dan nilai transaksi dalam tempoh lima tahun, menokok 8.0 peratus dan 23.8 peratus kepada 198,906 transaksi bernilai RM105.65 bilion pada separuh pertama 2024, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pencapaian tertinggi pasaran hartanah pada separuh pertama 2024 didorong oleh pertumbuhan kukuh 5.9 peratus ekonomi Malaysia.
Katanya, perkara ini membuktikan Malaysia berada pada landasan yang betul untuk mencapai transformasi ekonomi negara berdasarkan kerangka Ekonomi Madani.
“Sokongan berterusan kerajaan melalui pelaksanaan langkah Belanjawan 2024, termasuk menyediakan jaminan sehingga RM10 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), dan pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.
“Selain itu, dasar fiskal termasuk pengecualian duti setem dokumen pindah milik bagi pembelian rumah pertama menjadi pemangkin pasaran harta tanah yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024.
Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Menurut kenyataannya itu, prestasi aktiviti pasaran mengikut subsektor menunjukkan peningkatan dengan mencatat pertumbuhan yang kukuh tahun ke tahun iaitu subsektor kediaman (6.1 peratus), komersial (22.4 peratus), industri (2.3 peratus), pertanian (6.5 peratus) dan tanah pembangunan (12.1 peratus).
Katanya, nilai transaksi merekodkan peningkatan lebih tinggi bagi semua subsektor iaitu subsektor kediaman (10.4 peratus), komersial (41.5 peratus), industri (23.4 peratus), pertanian (37.8 peratus) dan tanah pembangunan (59.3 peratus).
“Prestasi kediaman siap dibina tidak terjual (overhang) turut memperlihatkan momentum yang lebih memberangsangkan. Unit siap dibina tidak terjual merekodkan penurunan kepada kepada 22,642 unit bernilai RM14.24 bilion, berbanding 25,816 unit bernilai RM17.68 bilion pada separuh kedua 2023.
“Segmen aktiviti pembinaan bagi hartanah kediaman sangat menggalakkan apabila semua peringkat pembinaan menunjukkan pertumbuhan positif.
“Prestasi penghunian kompleks perniagaan merekodkan peningkatan marginal. Kadar penghunian kompleks perniagaan merekodkan 78.1 peratus berbanding 76.6 peratus pada tempoh sebelumnya,” ujarnya.
Sebaliknya, NAPIC berkata, kadar penghunian pejabat binaan khas milik persendirian mencatat 71.6 peratus berbanding 72.4 peratus yang direkodkan pada tempoh sebelumnya.
Jelasnya, data awalan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pada separuh pertama 2024 berada pada paras 218.7 mata (harga purata RM471,918 seunit) dengan pertumbuhan tahunan pada kadar 0.9 peratus.
“Semua negeri menyaksikan pertumbuhan positif yang sederhana kecuali WP Kuala Lumpur, yang mencatat penguncupan 0.8 peratus.
“Mengikut jenis harta, rumah berkembar, teres dan sesebuah kekal stabil dengan pertumbuhan positif masing-masing pada 2.6 peratus, 1.1 peratus dan 0.5 peratus, manakala jenis rumah bertingkat tinggi merekod penurunan marginal,” ujarnya.-UTUSAN










