Titijaya Land catat untung bersih RM28.92 juta - Utusan Malaysia

Titijaya Land catat untung bersih RM28.92 juta

LIM POH YIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Titijaya Land Berhad (Titijaya) mencatatkan keuntungan bersih RM28.92 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, meningkat lebih daripada tiga kali ganda tahun ke tahun (YoY) dan keuntungan tahunan tertinggi sejak tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020.

Menurut kenyataan, peningkatan itu didorong oleh pampasan yang diterima kumpulan bagi pengambilalihan sementara tanah milik Shah Alam City Centre Sdn. Bhd. (SACC), anak syarikat milik penuhnya untuk projek Transit Aliran Ringan ketiga (LRT3) yang akan datang.

“Bagaimanapun, pendapatan kumpulan menurun sebanyak 30 peratus YoY kepada RM254.86 juta untuk tahun kewangan 2024 berbanding RM362.87 juta setahun lalu.

“Pendapatan untuk tahun tersebut didorong oleh jualan Neu Suites di Off Jalan Ampang, The Riv di KL Sentral, The Ria di KL Sentral, dan Seiring di Bukit Subang.

“Bagi suku keempat kewangan berakhir 30 Jun 2024, kumpulan mencatat keuntungan bersih RM2.59 juta, berbanding kerugian bersih RM21.33 juta setahun lalu disebabkan pampasan diterima bagi pengambilalihan sementara tanah milik SACC untuk projek LRT3,” katanya.

Jelasnya, pendapatan bagi suku keempat 2024 pula adalah RM55.81 juta, menurun sebanyak 52 peratus daripada RM115.23 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Penurunan pendapatan ini disebabkan oleh kadar pengambilan lebih daripada 90 peratus untuk projek yang telah disiapkan dan meninggalkan inventori terhad untuk dijual.

“Pada masa yang sama, projek baru masih berada di peringkat awal pembangunan yang mengakibatkan sumbangan pendapatan yang minimum daripada usaha tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata, prestasi itu didorong oleh kemajuan projek infrastruktur utama serta peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dan prospek sektor hartanah telah bertambah baik sepanjang tahun lalu.

“Permintaan telah kukuh untuk projek yang telah siap dan baru dilancarkan, dan kumpulan terus meraih manfaat daripada pegangan tanah strategik kami di bandar-bandar utama Lembah Klang.

“Maju ke hadapan, kami akan terus membuat pelaburan yang berhemah dalam pegangan tanah kami dan pembangunan hartanah yang terletak secara strategik di seluruh Lembah Klang.

“Fokus utama bagi kumpulan adalah bagaimana kami dapat memenuhi keperluan pembangunan hartanah yang mematuhi prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×