TROPICANA Corporation Berhad (Tropicana) bakal membangunkan SouthPlace 2 yang bakal merancakkan lagi pembangunan di Subang Jaya, Selangor.
Menurut Tropicana, SouthPlace 2 merangkumi 553 unit rumah dan 74 tapak perniagaan komersial yang bakal memenuhi gaya hidup urban dengan pemandangan taman indah.
“Pembangunan Tropicana Metropark seluas 35.6 hektar ini menawarkan akses utama ke Lebuhraya Persekutuan melalui Tropicana Metropark Link.
“Kawasan ini juga berhampiran dengan Sunway Medical dan Subang Jaya Medical Centre, Glenmarie Golf & Country Club, Saujana Golf & Country Club, dan Kelab Golf Negara Subang,” katanya.
Selain itu, unit kediaman di SouthPlace 2 turut menawarkan unit separa perabot dengan saiz antara 583 hingga 1,129 kaki persegi, pada harga bermula RM506,000.
“Perumahan ini sesuai untuk pembeli kali pertama, pasangan muda dan keluarga.
“Unit-unit rumah ini menawarkan susun atur yang luas dan fleksibel untuk ruang tamu, ruang makan dan dapur, membolehkan pelbagai situasi hidup dan bekerja,” ujarnya.
Jelasnya lagi, dua tingkat pertama daripada pembangunan bersepadu 1.78 hektar dan 38 tingkat itu turut menempatkan 74 lot runcit dengan harga purata RM1.58 juta.
“Hab runcit SouthPlace 2 Shoppes mempunyai keluasan binaan antara 562 kaki persegi hingga 3,266 kaki persegi, menjadikannya sesuai untuk perniagaan yang ingin memenuhi keperluan penduduk Tropicana Metropark.
“Kawasan ini dibina berdasarkan kejayaan tawaran kediaman terdahulu seperti Pandora, Paloma dan Paisley sambil meningkatkan pilihan runcit SouthPlace Shoppes dengan reka bentuk komersial menghadap taman urban Tropicana Metropark.
“Taman urban ini dilengkapi dengan kawasan yang diilhamkan oleh Sungai Yarra di Melbourne serta laluan berjoging, berjalan kaki dan berbasikal sejauh 2.8 kilometer (km),” ujarnya.-UTUSAN









