Scomnet diunjur kekal berdaya tahan

Scomnet diunjur kekal berdaya tahan

SEGMEN perubatan kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil Scomnet pada suku kedua.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Supercomnet Technologies Berhad (Scomnet) dijangka mencatatkan pertumbuhan berdaya tahan pada separuh kedua 2024, berikutan unjuran jualan segmen perubatan akan bertambah baik didorong oleh produk baharu.

TA Sector Research berkata, segmen auto dijangka pulih kerana Stellantis akan menyambung semula pengeluarannya.

“Keuntungan bersih separuh pertama Scomnet sebanyak RM16.5 juta menyumbang 42.0 peratus daripada ramalan setahun penuh kami dan 42.1 peratus daripada anggaran konsensus.

“Kami menganggap ini dalam jangkaan kerana kami menjangkakan jualan yang lebih kukuh pada separuh kedua.

“Bagi suku ke suku, keuntungan sebelum cukai (PBT) suku kedua meningkat sebanyak 7.2 peratus kepada RM10.8 juta seiring dengan jualan yang lebih tinggi sebanyak 5.9 peratus kepada RM38.3 juta,” katanya dalam nota penyelidikan.

Firma penyelidikan berkata, prestasi yang lebih baik didorong oleh segmen perubatan, terutamanya kabel video endoskopi Ambu, menjadikan margin PBT meningkat 0.3 mata peratusan kepada 28.2 peratus.

“Dari segi pecahan hasil, segmen perubatan kekal sebagai penyumbang utama kepada Scomnet, menyumbang 81 peratus (berbanding 76 peratus pada suku pertama) daripada jualan.

“Sementara itu, segmen automotif dan perindustrian masing-masing menyumbang dua peratus (berbanding lima peratus pada suku pertama) dan 17 peratus (berbanding 19 peratus pada suku pertama) daripada hasil suku kedua.

“Keuntungan bersih separuh pertama meningkat sebanyak 14.9 peratus kepada RM16.5 juta, mendahului pertumbuhan hasil sebanyak 5.3 peratus kepada RM74.4 juta,” ujarnya.

TA Sector Research berkata, prestasi kukuh itu disebabkan jualan produk perubatan yang lebih tinggi yang mempunyai margin keuntungan yang lebih baik. 

“Permintaan untuk kabel video endoskopi dan gastroskop telah meningkat apabila pelanggan membuat lebih banyak pesanan.

“Jualan yang lebih tinggi dalam segmen perubatan mengurangkan kesan pesanan yang lebih lemah daripada segmen automotif,” ujarnya.

Firma penyelidikan mengulangi saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.73 saham.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN