PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) mohon Kadar Dasar Semalaman (OPR) diturunkan sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat kelima Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) Jumaat ini.
Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, pihaknya berharap penurunan dapat dilakukan memandangkan terdapat kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memotong kadar faedah dalam masa terdekat.
“OPR sedia ada adalah pada paras 3.00 peratus dan kami harapkan adanya penurunan 25 mata asas kepada paras 2.75 peratus yang dapat membantu banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kami melihat inflasi semakin terkawal dan banyak perniagaan terutamanya PKS mungkin mahu mengambil kesempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Kadar faedah yang lebih rendah dapat mendorong perniagaan untuk mendapatkan pembiayaan tambahan untuk tujuan perkembangan perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
William turut menekankan bahawa Samenta berharap kerajaan akan memastikan tiada peningkatan kos kepada perniagaan dalam masa terdekat.
“Selain harapan untuk OPR diturunkan nanti, kami juga berharap kerajaan tidak menaikkan kos dalam sektor ini, memandangkan ramai PKS masih bergelut dengan kenaikan kos diesel dan cukai perkhidmatan.
“Kos operasi yang lebih tinggi boleh memberi kesan negatif kepada keuntungan PKS dan menjejaskan kemampuan mereka untuk berkembang dan mencipta peluang pekerjaan.
“Oleh itu, kestabilan kos dan penurunan kadar faedah adalah penting bagi memastikan PKS terus berdaya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir OPR dinaikkan adalah pada Mei 2023 lalu dengan kenaikan 0.25 mata asas, naik kepada paras 3.00 berbanding 2.75 pada Mac tahun lalu.
Pada 11 Julai 2024, OPR dikekalkan pada paras 3.00 di mesyuarat keempat MPC sehingga sekarang.
Bermula Mei 2023 sehingga Julai 2024, tiada sebarang kenaikan atau penurunan terhadap OPR dilakukan.-UTUSAN










