Ringgit kembali kukuh kepada RM4.11

Ringgit kembali kukuh kepada RM4.11

ringgit
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit kembali cemerlang apabila mengakhiri minggu ini pada RM4.11 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menyaksikan pengukuhan setiap hari sepanjang minggu kecuali pada Khamis berikutan aktiviti mengambil untung.

Pada pukul 5 petang semalam, mata wang negara ditutup tinggi 4.1180/1230 berbanding dolar AS daripada 4.1400/1470 pada Khamis.

Nilai tersebut adalah yang tertinggi sejak Jun 2021.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ringgit kembali stabil dan perkembangan tersebut adalah sesuatu yang sihat kerana kestabilan mata wang tempatan amat penting kepada ekonomi negara. 

“Perubahan yang terlalu pantas dan ketidaktentuan memberi kesan negatif, contohnya tukaran ringgit dari eksport berkurang dengan pengukuhan ringgit walaupun pada masa yang sama barangan yang di import menjadi lebih murah.

“Ringgit juga diunjurkan berada pada julat RM4.10 ke RM4.14 sehinggalah satu impetus yang besar mempengaruhi pasaran modal seperti pengurangan kadar faedah lagi oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada November nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas Aimi, pengumuman kerajaan China untuk memberikan lonjakan stimulus kepada ekonominya yang perlahan baru-baru ini juga mempengaruhi pengukuhan ringgit.

“China merupakan rakan dagang terbesar untuk negara kita bagi 15 tahun berturut-turut.

“Selain itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 3.0 peratus untuk 2024, dengan perbezaan kadar faedah dengan AS akan terus mengecil sekiranya Fed AS terus mengurangkan kadar faedahnya tahun ini. 

“Justeru itu, ini akan menyebabkan lebih lagi aliran keluar dari AS kepada pasaran modal global, termasuk Malaysia dan pastinya nilai ringgit akan mengukuh hingga RM4.00 akhir tahun 2024,” ujarnya.

Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, sekiranya tercetus krisis geopolitik yang berskala besar, dolar AS akan kembali mengukuh sebagai matawang ‘selamat’ kepada para pelabur dan pengurus dana.  

“Risiko itu tetap ada dengan krisis di Palestin berlarutan ke Lubnan, begitu juga dengan perang Russia-Ukraine serta pergeseran dan ketegangan beberapa negara di Laut China Selatan,” katanya.

Dalam pada itu, BMI, unit penyelidikan Fitch Solutions menyemak semula prestasi ringgit pada suku ketiga 2024 dengan mengunjurkan nilai mata wang tempatan daripada RM4.55 kepada RM4.0 berbanding dolar AS.

“Dalam jangka sederhana, kami terus berpandangan positif terhadap ringgit, memandangkan perbezaan hasil yang mengecil dengan AS dan prospek pertumbuhan ekonomi yang agak berdaya tahan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bagaimanapun, ramalan BMI condong ke arah ringgit yang lebih lemah, sebahagian besarnya bergantung kepada trajektori kadar faedah Fed AS dan pertumbuhan China.

“Melihat melangkaui ufuk enam bulan, BMI meramalkan ringgit mengukuh sebanyak sembilan tahun depan, mencecah RM3.55 berbanding dolar AS menjelang akhir 2025.

“Ringgit telah kembali ke arah aliran lemahnya sejak permulaan 2024, memperoleh 12.1 peratus pada suku ketiga 2024, menjadikannya mata wang pasaran pesat membangun yang berprestasi terbaik di rantau ini,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, ringgit mencecah rintangan garis arah aliran berbilang tahun pada RM4.20 pada Isnin dan menunjukkan potensi untuk mencapai RM4.00 menjelang akhir 2024, walaupun susut nilai jangka pendek mungkin disebabkan oleh indeks kekuatan relatif terlebih jual.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN