PETALING JAYA: Perniagaan rempeyek, Kak Cun Enterprise meningkat lebih 20 peratus dan berjaya mengeksport produk makanan itu ke Ireland selepas mendapat pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Usahawan, Amir Ismail, 54 yang merupakan pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 2012 itu mengakui sebelum mendapat sijil halal pendapatan jualan hanya sekitar RM20,000 dan kini mencecah RM25,000 sebulan.
Jelas beliau, produk rempeyek ini dijalankan sejak 2017 dan beroperasi di Rembau, Negeri Sembilan.
“Saya memohon pensijilan halal pada Ogos 2023 dan lulus pada 1 Disember 2023. Bagi saya, pensijilan halal ini untuk bersaing dengan pesaing perniagaan atau produk yang sama di pasaran, meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan di mata pelanggan.
“Selain itu, cara ini juga memudahkan produk saya ke pasar raya. Saya juga melihat perniagaan mula berkembang dan telah menarik ramai pembeli,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Amir menjelaskan, beliau menjual lima jenis rempeyek yang terdiri daripada rempeyek kacang tanah, kacang dal, kuaci, kacang hijau dan bilis.
“Terdapat dua pembungkusan iaitu botol 450 gram (RM23 satu balang) dan paket 130 gram (RM10 satu paket) dan sehingga kini, sebanyak 1,500 paket dan balang 1, 000 sebulan paket terjual sebulan,” katanya.
Jelas Amir, selepas menerima pensijilan halal, produk terdapat di Kedai Mesra Stesen Petronas sekitar Negeri Sembilan, Selangor ,Kuala Lumpur dan di Rosyam Mart Senawang.
Beliau turut menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
“Lebih menyakinkan kini, produk rempeyek ini juga pernah dieksport ke Ireland.
“Sebanyak 13,100 paket dan 9,000 balang rempeyek pelbagai jenis telah terjual sejak mendapat pensijilan halal,” katanya.
Amir turut menasihatkan mana-mana usahawan agar mendapatkan sijil halal agar memberi kredibiliti kepada jenama dan dapat memperluaskan pasaran produk di dalam mahupun ke luar negara.-UTUSAN










