KUALA LUMPUR: Radium Development Berhad (Radium) mengunjurkan kadar pengambilan sehingga 50 peratus bagi pembangunan hartanah kediaman baharunya, Radium Arena di Jalan Klang Lama menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Radium, Datuk Gary Gan berkata, Radium Arena yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM550 juta terletak di lokasi yang strategik di atas tanah seluas 1.2 hektar.
Katanya, pembangunan pegangan bebas itu menampilkan dua blok 40 tingkat dengan 988 unit kediaman dengan reka bentuk menarik.
“Misi kami di Radium adalah untuk membina lebih daripada sekadar struktur, kita membina komuniti.
“Radium Arena dengan gabungan padu masa lalu dan masa depan adalah gambaran komitmen kami untuk mencipta ruang di mana warisan dan kemodenan wujud bersama, memupuk semangat kekitaan untuk semua.
“Pembangunan ini memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk rumah berharga kompetitif berhampiran pusat bandar dan sejajar dengan misi kami untuk menyediakan rumah berkualiti yang memenuhi aspirasi rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran galeri jualan Radium Arena di Jalan Klang Lama di sini, semalam.
Gary berkata, kediaman tersebut ditawarkan pada harga yang kompetitif dan mampu milik iaitu bermula dari RM410,000.
“Pembangunan ini dijangka akan menarik golongan muda atau mereka yang baru saja bekerja kerana harganya yang masih dalam lingkungan mampu milik.
“Kami yakin ia akan dapat menarik minat pembeli kerana ini adalah Jalan Klang Lama. Kawasan ini senang untuk dijual,” ujarnya.
Tambahnya, pilihan unit terdiri daripada 658 kaki persegi untuk dua bilik tidur dan dua bilik mandi kepada unit dwi kunci 920 kaki persegi untuk tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.
Radium Arena dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2028. – UTUSAN










